'Ambo orang paling sohor dalam Malaya’
GUA MUSANG - Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau menjadi orang paling tersohor di Malaya apabila selipar, kasut, stoking yang dipakainya mencuri tumpuan sepanjang tempoh berkempen.
"Ambo (saya) ini ceramah setiap malam. Akhir-akhir ini sohor (terkenal) sangat.
"Orang paling sohor dalam Malaya, sehari dua ini ambo (saya) lah. Sebab semua orang cakap pasal hal selipar, kasut, stoking.
"Sampai hal seluar dalam. Ambo (saya) ini ibarat kemuncup lekat di seluar dalam," katanya semasa Ceramah Umum PRK Nenggiri di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Asap di sini pada Isnin malam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir Annuar kerana memakai pakaian berjenama ketika berkempen.
Menurutnya, Annuar sepatutnya berlakon sedikit supaya tidak menunjukkan kemewahan kepada masyarakat Orang Asli di DUN berkenaan.
"Tular beberapa gambar Annuar Musa pakai barang jenama Louis Vuitton (LV). Baju LV. Jam LV. Selipar pun LV. Ia ekoran Annuar pakai baju LV masa bagi maggie mee (mi segera) pada pengundi Orang Asli," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!