Lapan jam padam api, lori tangki bawa diesel terbakar
LAHAD DATU - Pasukan bomba terpaksa mengambil masa hampir lapan jam memadamkan kebakaran sebuah lori tangki yang membawa muatan diesel di kawasan bulatan berhampiran Taman Palm Height di sini, pada Isnin.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang itu turut menyebabkan anggota bomba berdepan cabaran ketika memadam kebakaran yang tercetus berulang kali walaupun api sudah berjaya dipadamkan sebelum itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, seramai 16 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh empat kilometer dari balai bomba.
"Pemandu lori memaklumkan lori terbabit membawa muatan 10,000 liter diesel. Namun tiada maklumat terperinci bahan api itu dibawa ke mana.
"Operasi memadamkan kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera dan jabatan air serta 10 tong pemadam api jenis buih untuk tujuan mengawal api tersebut.
"Namun sepanjang operasi, kami sudah tiga kali berjaya memadam api tetapi tercetus kembali dipercayai dari dalam paip tangki tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Bagaimanapun, Sumsoa berkata, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut kira-kira jam 10 malam sebelum operasi ditamatkan sejam kemudian.
"Punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak forensik ke lokasi kejadian pagi ini untuk siasatan lanjut.
"Operasi ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan lokasi kejadian selamat digunakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!