Kes bunuh Cikgu Istiqomah: Polis Perak tunggu arahan bantu siasatan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Polis Perak sedia membantu siasatan kes bunuh seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi yang mayatnya ditemukan tanpa kepala dan tangan di Alor Gajah, Melaka pada Disember lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, perkara itu susulan penahanan suspek utama kes berkenaan di Chemor dekat sini, 5 Ogos lalu.

"Bergantung kepada pegawai penyiasat di Melaka. Jika ada link mengatakan (bahan bukti) berada di Perak, maka kita akan bantu.

"Setakat ini kita belum menerima sebarang arahan daripada Polis Kontinjen Melaka bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Selasa.

Media melaporkan, misteri kehilangan guru berusia 33 tahun itu sejak tujuh bulan lalu terungkai apabila polis mengesahkan identiti mayat wanita ditemui tanpa kepala dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang.

Penemuan itu hasil siasatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada 2 Ogos lalu mendapati DNA wanita terbabit adalah sepadan dengan sampel diambil daripada mayat.

Susulan itu, polis menahan sepasang suami isteri di Chemor bagi membantu siasatan yang kemudiannya membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tengkorak dan tulang jari kira-kira enam kilometer dari kawasan tempat mayat mangsa dijumpai.

Suspek lelaki berusia 37 tahun telah direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala isterinya berusia 36 tahun dibebaskan pada Isnin dengan jaminan polis.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!