Pemandu 'lalok' rempuh enam kenderaan lain
TAWAU - Seorang pemandu di bawah pengaruh dadah menjadi punca kemalangan melibatkan enam kenderaan di Batu 3 Jalan Apas, kira-kira jam 5 petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian kemalangan di lokasi tersebut.
"Suspek lelaki berusia 26 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kenari dalam perjalanan dari arah Jalan Apas menuju ke Bandar Tawau.
"Sebaik tiba di kawasan kedai di Batu 3, suspek telah memandu secara melulu dengan merempuh tiga kenderaan yang sedang parkir dan tiga kenderaan yang sedang bergerak termasuk sebuah motosikal," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, kejadian itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal berusia 26 tahun cedera pada kedua belah tangan dan lutut.
"Siasatan lanjut mendapati, ketika kemalangan suspek memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah.
"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!