Lokasi bot karam kawasan tangkapan ikan, laluan kapal

Sinar Harian pada Isnin melaporkan pencarian dua mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam dipercayai dilanggar tongkang belum menemukan sebarang petunjuk.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan pencarian dua mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam dipercayai dilanggar tongkang belum menemukan sebarang petunjuk.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lokasi pelanggaran bot nelayan dengan sebuah tongkang Ahad lalu merupakan kawasan aktiviti tangkapan ikan selain merupakan kawasan perikanan rekreasi dan laluan bot atau kapal.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, lokasi insiden yang terletak kira-kira tujuh batu nautika dari pantai Kuala Kemaman adalah kawasan laut terbuka dan tiada larangan untuk tangkapan ikan.

"Kawasan 7 batu nautika dari pantai memang merupakan kawasan aktiviti penangkapan ikan sama ada oleh nelayan atau aktiviti perikanan rekreasi.

"Lebih tepat ia adalah kawasan laut terbuka yang tidak ada larangan untuk aktiviti penangkapan ikan dan dalam masa yang sama terbuka juga untuk laluan bot atau kapal," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Katanya, beliau mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa tragedi bot karam yang berlaku di perairan Kuala Kemaman itu.

Jelas beliau, pihaknya menyerahkan kepada kepada pihak berkuasa bagi menyiasat punca sebenar tragedi tersebut.

"Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat tragedi menyedihkan ini.

"Kita juga menyeru semua pihak yang melakukan aktiviti di laut supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan serta saling berwaspada dengan situasi di sekeliling," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan negeri akan memperkenalkan zon antara laluan kapal dan kawasan penangkapan ikan, katanya, pengasingan zon antara dua laluan itu dibawah kuasa kerajaan Pusat.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, sebuah bot nelayan yang dikendalikan dua tekong dan tujuh pemancing karam selepas dikatakan dilanggar tongkang dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.

Mayat dua pemancing iaitu Shahril Ismail, 50, dan Siti Zaminah Mohman Zobini, 29, ditemukan pada hari yang sama manakala dua lagi mangsa iaitu Yusoff Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25, masih belum ditemui.


Bot karam: Wajib pakai jaket keselamatan walaupun ketika tidur

Dalam pada itu, golongan pemancing termasuk peserta aktiviti mencandat sotong diwajibkan memakai jaket keselamatan sepanjang berada di laut sebagai persediaan berdepan risiko tidak diduga.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, keutamaan yang diberikan terhadap aspek keselamatan itu diyakini mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa.

Menurutnya, pengusaha bot yang menawarkan perkhidmatan kepada pemancing juga diwajibkan menyediakan jaket keselamatan serta memastikan semua penumpang yang berada di atas bot memakai kelengkapan tersebut.

"Jika pakai jaket keselamatan kemungkinan untuk tenggelam itu agak minimum, tetapi jika tidak memakai kelengkapan itu, risiko tenggelam dan lemas lebih besar.

"Sebenarnya, jaket keselamatan wajib dipakai 24 jam sepanjang berada di lautan walaupun ketika itu sedang tidur dan bermalam di atas bot," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Razali berkata demikian ketika diminta mengulas aspek keselamatan terhadap golongan pelancong yang datang ke Terengganu susulan insiden bot karam dipercayai dirempuh tongkang dalam kejadian Ahad lalu.

Katanya, insiden yang berlaku itu dalam siasatan pihak berkuasa dan sebarang perkembangan lanjut mengenainya akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.

"Saya difahamkan, bagi kes bot karam melibatkan bot nelayan dengan sebuah tongkang baru-baru ini, bot digunakan itu memiliki lesen penuh untuk beroperasi dalam aktiviti perikanan rekreasi dan tongkang tersebut berada dalam laluan kapal.

"Dalam insiden ini, saya ingin menegaskan mengenai faktor pemakaian jaket keselamatan yang tidak dipraktikkan menyebabkan ada antara pelancong atau peserta rombongan mencandat sotong kehilangan nyawa," katanya.

Sebelum itu, Razali meluangkan masa meninjau operasi pencarian dua lagi pemancing hilang di Pangkalan Hadapan Pejabat Maritim Kemaman, di sini pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!