Awie nafi naik helikopter, pandu sendiri pacuan empat roda

Awie (kiri) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang semasa turun berkempen di sana.
Awie (kiri) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang semasa turun berkempen di sana.
A
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menafikan beliau menaiki helikopter sebaliknya memandu sendiri pacuan empat roda semasa masuk berkempen ke kawasan penempatan masyarakat Orang Asli di Pos Pasik di sini.

Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie berkata, perkara itu sudah menjadi rutin sejak dulu lagi setiap kali beliau masuk menyantuni penduduk di kawasan tersebut.

"Dakwaan saya menggunakan helikopter sebagaimana yang tular di media sosial itu sama sekali tidak benar.

"Sebelum masuk ke Pos Pasik, saya singgah di Masjid Meranto untuk solat Zohor sebelum menyambung perjalanan ke penempatan Orang Asli," katanya kepada pemberita.

Sinar Harian melaporkan Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan dakwaan penggunaan helikopter oleh calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk berkempen kerana jika sewaannya RM350,000 sehari ia telah melanggar had kos kempen.

Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, beliau telah melakukan semakan dan mendapati kos sewaan bagi helikopter yang mempunyai lebih lima kerusi adalah kira-kira RM350,000.

"Dalam pilihan raya ada undang-undang termasuk dari segi jumlah yang boleh dibelanjakan dalam menjayakan kempen.

"Kalau pakai helikopter lebih dari lima kerusi, kosnya (dianggarkan) RM350,000 dan itu melebihi daripada had berkempen serta salah dari segi peraturan," katanya pada sidang akhbar PN di pusat informasi parti berkenaan di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!