Polis berkas lelaki edar dadah di Puteri Harbour
ISKANDAR PUTERI - Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sekitar kawasan Puteri Harbour di sini Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, lelaki berkenaan ditahan sekitar jam 5.45 petang kerana disyaki mengedar dadah di kawasan Puteri Harbour.
"Lelaki berkenaan ditahan bersama sejumlah rampasan dadah dan hasil ujian air kencing, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah narkotik.
"Polis merampas sejumlah dadah iaitu 500 biji pil eramin 5 bernilai RM10,000, 91.96 gram heroin bernilai RM2,300 dan menyita sebuah motosikal bernilai RM6,000,", katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi operasi terbabit adalah RM18,300.
Suspek direman selama enam hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!