Sindiket e-waste sewa tanah, beroperasi dalam ladang sawit, hutan
KUALA LUMPUR - Seorang individu bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) haram pada 5 Ogos lalu.
Serbuan dilaksanakan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas tujuh kilang e-waste
Lokasi serbuan ialah Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang; Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor; Rembau dan Gemencheh, Negeri Sembilan serta Simpang Renggam, Johor.
Ketua AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, tangkapan Op E-Waste ini membabitkan 10 warga tempatan dan 45 warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.
Katanya, warga tempatan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik tanah, penyelaras serta koordinator yang mengambil untung atas sewaan premis kilang dengan nilai puluhan ribu ringgit.
"Warga asing yang ditahan pula memainkan peranan membawa teknologi dan bahan kimia dari luar untuk pemprosesan e-waste selain juruteknik.
"Operasi fasa pertama ini mengesan kilang-kilang ini telah beroperasi sejak 2023 dengan mendapatkan bahan e-waste dari sebuah negara di Asia," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Selasa.
Beliau berkata, e-waste ini diproses menjadi jongkong dan blok logam dengan nilai mencecah RM70,000 satu unit sebelum diseludup semula ke negara luar.
Tambah Muhammed Hasbullah, kilang tanpa lesen dan tidak berdaftar yang mengaut untung jutaan ringgit itu juga dikesan menggajikan warga asing sebagai pekerja.
"AMLA telah menyita dan merampas pelbagai aset seperti palet, blok logam e-waste, kenderaan, jentera dan kilang bernilai RM43.19 juta.
"Tanah yang diguna sebagai tapak kilang juga telah dibekukan dan nilainya masih dalam penilaian," ujarnya.
Kata beliau, AMLA akan melihat isu e-waste ini secara menyeluruh termasuklah siapa dalang di sebaliknya, bagaimana ia dibawa masuk dan modus operandinya.
"Apa yang dikesan kilang-kilang haram ini beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan jauh daripada laluan utama. Proses pembakaran atau peleburan dipercayai dilakukan waktu malam bagi melindungi aktiviti haram itu daripada dikesan.
"Berdasarkan kes sebelum ini, serbuan pernah dibuat pihak berkuasa namun kilang ini boleh kembali beroperasi dan kita lihat seperti ada yang tidak betul. AMLA akan pastikan kilang dan rangkaiannya ini diambil tindakan habisan," katanya.
Tegasnya, dalam usaha membanteras aktiviti pengubahan wang haram ini, polis mengingatkan orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat.
"Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat," ujarnya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63.
Pada 26 Jun lalu, Sinar Harian menerusi satu laporan khas melaporkan Malaysia kini menghadapi masalah lambakan sampah e-waste seperti komputer, telefon bimbit, televisyen, peti ais dan mesin basuh yang semakin meningkat iaitu lebih 365,000 tan setahun.
Laporan itu juga mendedahkan ada premis yang sebelum ini pernah diserbu pihak berkuasa, kembali aktif dipercayai didorong oleh keuntungan besar hasil mengitar semula e-waste berkenaan.
Berikutan itu, pada 6 Ogos, Sinar Harian juga mendedahkan terdapat beberapa kilang e-waste haram di Segamat, Johor yang aktif beroperasi hingga mendatangkan pencemaran bau kepada penduduk sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!