RM299.6 juta hasil judi untuk 'dicuci' kena beku

Muhammed Hasbullah (tengah) dalam sidang akhbar di Menara KPJ pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Muhammed Hasbullah (tengah) dalam sidang akhbar di Menara KPJ pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan wang RM299.61 juta hasil komisen judi online yang dipindahkan ke negara ini melalui perkhidmatan kewangan luar pesisir (offshore), Labuan.

Taktik pengubahan wang haram atau 'cuci duit' itu dilakukan seorang lelaki warga asing yang memiliki dua kerakyatan.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, berdasarkan maklumat yang disalurkan institusi perbankan, lelaki itu dikesan membuka akaun luar pesisir pada tahun 2023.

"Siasatan lanjut mendapati individu ini memperoleh hasil daripada aktiviti haram dengan mengambil komisen dalam wang yang dipertaruhkan oleh pemain judi dalam talian di platform judi yang dimilikinya.

"Platform judi online miliknya dipercayai mencecah 10,000 orang pemain yang membabitkan nilai perjudian sebanyak RM14.05 bilion. Sebahagian daripada keuntungan sebanyak RM371 juta hasil daripada aktiviti itu dipindahkan ke negara ini," katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini pada Selasa.

Muhammed Hasbullah berkata, susulan itu, pasukan AMLA membekukan harta-harta yang dibawa masuk ke sistem ekonomi negara ini.

Jelasnya, antaranya ialah satu akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) saham di luar negara dengan unit pegangan saham sebanyak 108,625 unit bernilai kira-kira RM281 juta.

"Selain itu, turut dibekukan satu akaun escrow (akaun dana yang dipegang secara amanah) dengan nilai RM18.558 juta yang dikendalikan oleh sebuah bank pelaburan tempatan yang dilesenkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan dua akaun bank tempatan berjumlah RM58,048," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, individu berkenaan kini sudah dikeluarkan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol) dari pihak berkuasa negara asalnya.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai aktif mengendalikan platform judi online sejak 2012 hingga 2020 dengan menyasarkan pemain dari luar negara.

"Usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan lokasi lelaki berusia lingkungan 30-an itu," katanya.

Tegas beliau, dalam usaha untuk membanteras kegiatan penggubahan wang haram di Malaysia mahupun antarabangsa, kerjasama daripada sektor swasta amatlah penting terutama dalam menyalurkan sebarang maklumat aktiviti yang mencurigakan kepada polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!