Rexy kunci mulut keputusan Sze Fei-Izzuddin gerak profesional
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan kunci mulut berkenaan hasrat pemain beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk meninggalkan badan induk itu.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya masih berbincang mengenai hasrat pasangan ke-13 dunia itu sebelum membawanya kepada ahli majlis badan induk berkenaan bagi tindakan selanjutnya.
“Kami tidak boleh beritahu apa-apa kerana belum tahu lagi segala keputusan. Kami perlu duduk untuk membincangkan segala-galanya.
“Kemudian, segala hasil perbincangan akan dikemukakan kepada ahli majlis bagi mendapatkan kelulusan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di ABM pada Selasa.
Sebelum ini khabar angin bertiup kencang tentang hasrat Sze Fei-Izzuddin mahu meninggalkan badan induk itu untuk meneruskan karier mereka sebagai pemain profesional.
Dalam pada itu, Rexy berkata, buat masa ini Sze Fei-Izzuddin masih kekal di bawah naungan BAM dan akan menjalani latihan di ABM seperti biasa.
“Mereka masih berlatih seperti biasa di sini dan akan sertai Terbuka Jepun dan Korea,” katanya.
Aaron-Wooi Yik mahu ikut jejak Ahsan-Setiawan
Dalam perkembangan berasingan, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu mengikut jejak langkah idola mereka, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan untuk beraksi di peringkat tertinggi bagi tempoh masa yang lebih lama.
Bagaimanapun, Wooi Yik mengakui ia bukanlah satu perkara mudah memandangkan dirinya dan Aaron perlu memastikan mereka sentiasa berada dalam kondisi terbaik berdasarkan usianya yang semakin meningkat.
“Sudah tentu saya dan Aaron telah membincangkan perkara ini dan kami mahukan gandingan ini selama mungkin kerana kami tahu bahawa kami berpotensi untuk pergi lebih jauh dan kami belum sampai ke puncak.
“Kami mahu memenangi kejohanan besar seperti Hendra-Setiawan dan nak jadi macam mereka. Kami mempunyai semua pingat dalam kejohanan utama tetapi bukan semuanya emas dan itu yang kami mahu capai,” katanya.
Sebelum ini, beregu nombor tiga dunia itu menghadiahkan kilauan pingat pertama negara di Paris 2024 selepas menewaskan gandingan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 di perlawanan penentuan gangsa, 4 Ogos lepas.
Sebagai rekod, ia merupakan gangsa kedua Aaron-Wooi Yik di pentas Olimpik selepas meraihnya di Tokyo 2020 dengan mereka kini menanam impian untuk terus memburu kilauan lebih baik di Los Angeles 2028.
Dalam pada itu, Aaron berkata, selain perlu berada dalam kondisi terbaik, komunikasi antara mereka juga penting bagi mengelakkan salah faham yang dijangka mampu menggugat prestasi gandingan itu.
“Perkara paling penting ialah komunikasi untuk mengelakkan salah faham.
“Dua tahun lepas, kami melakukan banyak salah faham, tetapi sekarang ia semakin baik,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!