Dua lelaki direman kes tikam dua wanita di Kelana Jaya

Lokasi dua wanita cedera ditikam pada Jumaat lalu.
Lokasi dua wanita cedera ditikam pada Jumaat lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua individu direman tujuh hari bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian dua wanita cedera ditikam dekat sebuah tandas surau di Kelana Jaya, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'far berkata, kedua-dua individu berkenaan masing-masing berumur 46 dan 50 tahun ditahan di sebuah rumah di kawasan Kajang pada Selasa.

"Dua suspek terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan reman.

"Majistret kemudiannya membenarkan kedua-dua suspek berkenaan direman tujuh hari bagi siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

"Setakat ini siasatan lanjut melibatkan semua aspek masih dijalankan pihak polis.

"Salah seorang mangsa wanita berumur 26 tahun yang sebelum ini mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam telah dibenarkan pulang dan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua wanita cedera diserang seorang lelaki yang bersenjatakan pisau rambo di tandas sebuah surau di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, seorang jurujual berusia 26 tahun mengalami kecederaan di kepala dan perut manakala guru besar berusia 52 tahun mengalami luka pada lengan dan tangan kiri akibat diserang lelaki berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!