BN letak calon untuk PRK Mahkota - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diwakili Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan bersiap siaga untuk menghadapi PRK itu.

Menurutnya, pilihan raya berkenaan akan dijadualkan pada 14 September bagi penamaan calon dan 24 September untuk pengundian awal.

“Oleh kerana kerusi terbabit diperuntukkan kepada BN, parti itu akan mengadakan perbincangan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Keputusan akan dibawa ke dalam mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan.

"Kita tahu DUN Mahkota adalah kawasan yang agak berpotensi untuk terus kita menang dan tentunya kita mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan Bilangan 3 Tahun 2024 di ibu pejabat SME Corp Malaysia di sini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, persefahaman yang menjadi formula Kerajaan Perpaduan itu adalah kerusi yang diwakili mana-mana parti itu harus diserahkan atau ditandingi semula oleh parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya tidak mahu kenyataan-kenyataan dikeluarkan mana-mana pemimpin besar atau kecil, menuntut mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu atau mengeluarkan kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi sebaliknya," tambahnya.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HEBHK kerana mengalami sesak nafas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!