Lelaki tular hayun senjata, pecah cermin kenderaan didakwa

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memecahkan cermin kereta mangsa dalam satu kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas arah USJ, Subang Jaya, Selangor pada Rabu.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memecahkan cermin kereta mangsa dalam satu kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas arah USJ, Subang Jaya, Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang tular memberhentikan kenderaan dengan menghayunkan senjata di Lebuhraya Kesas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas satu pertuduhan melakukan khianat, minggu lalu.

Penganggur, G Nagendaran, 32, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin kereta jenis Toyota Estima milik Noor Nabila Huda Zaini, 37, dengan anggaran kerugian sebanyak RM100, di luar sebuah stesen minyak, Lebuhraya Kesas, Subang Jaya di sini, pada jam 1 pagi, 7 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Nagendaran didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya di balai polis USJ 8, Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya pada jam 5 petang, 8 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 38B akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 serta menjalani perintah pengawasan polis, hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin, bagi semua kes.

Bagaimanapun, peguam, M Partiben yang mewakili tertuduh merayu kadar itu dikurangkan kerana perlu menanggung isteri dan dua anaknya termasuk ibu bapa yang uzur.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan semua pihak, Sasha Diana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 November depan.

Pada Khamis lalu, polis memberkas empat individu dalam serbuan berasingan di sekitar Klang dan pusat bandar dalam tempoh kurang 24 jam, selepas kejadian cubaan menyamun seorang juruteknik.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan juruteknik itu menempuh detik cemas apabila kenderaannya ditahan empat lelaki bersenjata kayu.

Suspek bukan saja menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dipandu mangsa malah bertindak agresif dengan memecahkan cermin kenderaan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!