13 remaja mengaku tidak bersalah bunuh pelajar kolej vokasional
TAWAU - Seramai 13 remaja lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Kesemua tertuduh berusia antara 16 hingga 19 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Menurut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 24 kanun sama yang memperuntukan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan jika disabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 hingga 22 November dan 25 hingga 29 November ini sebagai tarikh perbicaraan kes tersebut.
Mahkamah juga dimaklumkan seramai 10 hingga 12 saksi pendakwaan akan dipanggil sepanjang perbicaraan itu berlangsung.
Sebelum itu, sembilan tertuduh diwakili barisan peguam iaitu Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, Amirul Amin Rashid dan Chen Wen Jye.
Seorang lagi tertuduh diwakili peguamnya, Abdul Ghani Zelika dan tiga lagi yang lain tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!