Johor dijangka jadi kuasa besar besar ekonomi negara - RHB

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan dua projek berimpak tinggi Johor iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City dijangka menjadikan negeri berkenaan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi seterusnya untuk negara.

RHB Investment Bank menerusi laporan tinjauan pasaran Invest Johor berkata, negeri yang terletak di selatan tanah air itu terserlah dari segi lokasi yang strategik, kemajuan infrastruktur dan kepelbagaian landskap ekonomi sehingga menjadikan negeri tersebut sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketiga terbesar negara.

Menurut bank pelaburan itu lagi, perkembangan positif tersebut turut didorong oleh faktor pembangunan pemangkin yang diterajui kerajaan dan kemasukan pelaburan langsung serta domestik.

Ia sekali gus dipercayai dapat membantu meningkatkan sektor pembinaan, pusat data, tenaga, petrokimia, perindustrian dan pelancongan, di samping limpahan positif kepada pasaran hartanah.

“Kami percaya pertumbuhan ekonomi Johor akan terus melepasi purata negara didorong oleh sektor pembuatannya yang teguh, kekuatan mampan dalam industri perkhidmatannya, lokasi yang bermanfaat dan infrastruktur dibangunkan dengan baik, serta dasar sokongan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Johor mempunyai infrastruktur yang dibangunkan dengan baik termasuk pelabuhan, lapangan terbang, rangkaian jalan raya dan utiliti serta dilengkapi dengan kos operasi perniagaan yang kompetitif," katanya pada Isnin.

Selangor dan Kuala Lumpur ketika ini berada pada kedudukan pertama dan kedua selaku penyumbang ekonomi terbesar di Malaysia.

Dalam pada itu, RHB Investment Bank melalui laporan berkenaan berkata, pertumbuhan KDNK Johor secara asasnya telah mengatasi purata negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia berkembang sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun pada 2023 berbanding pertumbuhan 3.6 peratus tahun ke tahun Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ulasnya, perkembangan KDNK negeri tersebut dipacu oleh pertambahan 84 peratus sumbangan daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan.

"Sektor perkhidmatan Johor telah mengalami pertumbuhan terpantas dalam kalangan negeri-negeri Malaysia sejak lima tahun lalu.

"Beberapa faktor ekonomi dan demografi mendorong sektor perkhidmatan di negeri itu, antaranya perbelanjaan pengguna dan perdagangan runcit dirangsang oleh peningkatan kelas pertengahan dan peningkatan pendapatan perkapita," ujarnya.

Tambah bank pelaburan tersebut, fungsi pelabuhan utama seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Johor mendorong kepada peningkatan pelabur domestik dan antara bangsa.

Jelasnya, ia berikutan fasiliti berkenaan memainkan peranan perantaraan yang baik bagi tujuan aktiviti eksport dan import.

"Daya tarikan negeri itu didorong oleh infrastrukturnya yang mantap seperti pelabuhan dan rangkaian jalan raya sambil dilengkapi dengan perkhidmatan utiliti serta tenaga kerja yang banyak.

"Pada 2023, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 751 projek di Johor berjumlah RM43.1 bilion, menyumbang 13 peratus daripada angka nasional. Projek-projek ini dijangka mewujudkan 19,053 pekerjaan baharu," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!