Koperal minta suapan RM400 didenda RM1,500

Mohd Rizal (kiri) didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa.
Mohd Rizal (kiri) didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Padah meminta suapan RM400 ketika menahan seorang lelaki dalam sekatan jalan raya, seorang anggota polis berpangkat koperal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Rizal Abd Rahman, 42, mengaku bersalah sebaik pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu koperal polis yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah telah menerima wang tunai berjumlah RM400 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Tindakan itu dilakukan kira-kira jam 12.30 pagi di pondok perhentian bas Taman Sinn, Jalan Semabok-Ayer Leleh di sini, pada 25 April 2021.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, dia telah menahan seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal ketika sekatan jalan raya dan semakan mendapati individu tersebut memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) pada tahun 2016.

Selepas itu, tertuduh meminta lelaki tersebut menghubungi bapanya untuk membawa RM400 agar lelaki dapat dibebaskan dan tidak dibawa ke balai polis.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Julieana Yahaya mencadangkan denda antara RM1,000 hingga RM1,500 dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Peguam Ishak Mad Kari yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu malah tertuduh digantung kerja dan telah dikenakan pemotongan gaji.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!