Peruntukan PMKS ditarik jika tidak lapor SMEIPA
KUALA LUMPUR - Peruntukan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan ditarik semula sekiranya tiada laporan diberikan kepada Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya dua minggu tempoh diberikan kepada usahawan kecil untuk membuat laporan bermula berkuat kuasa hari ini.
Menurutnya, peruntukan berjumlah RM15.06 bilion kepada 286 inisiatif serta program PMKS dilaporkan sehingga separuh penggal tahun ini dengan menunjukkan peningkatan 10.8 peratus.
“Terdapat 40 program berjumlah RM32.8 bilion yang sedang dikenal pasti perinciannya dan belum dilaporkan.
“Saya mengambil maklum perkara ini dan bersetuju untuk mewajibkan pelaporan pencapaian semua inisiatif keusahawanan atau pembangunan PMKS di semua kementerian, agensi serta Kerajaan Negeri,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan Bilangan 3 Tahun 2024 di ibu pejabat SME Corp Malaysia, di sini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy.
Ditanya mengenai punca laporan tidak diberikan, Ahmad Zahid berkata, kemungkinan pihak PMKS terlepas pandang atau tidak menyelesaikan program-program berkenaan.
Ujar beliau, sepatutnya tiada sebab untuk tidak melaporkan kerana ia menjadi salah satu cara untuk kerajaan mengetahui aktiviti PMKS selepas menerima peruntukan.
“Tidak ada sebab untuk tidak buat laporan. Kalau tidak, kita tidak tahu sejauh mana apa yang kita atau kerajaan berikan sudah dilaksanakan oleh mereka.
“Laporan itu tidak wajib, tetapi mulai hari ini laporan itu menjadi wajib,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!