Pendapatan boleh agih KWSP naik kepada RM36.7 bilion

Jumlah pendapatan boleh agih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 29 peratus kepada RM36.7 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. - Gambar hiasan
Jumlah pendapatan boleh agih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 29 peratus kepada RM36.7 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Jumlah pendapatan boleh agih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 29 peratus kepada RM36.7 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ia berbanding RM28.40 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan boleh agih itu tidak termasuk keuntungan mark-to-market (MTM) bagi sekuriti yang belum direalisasikan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keadaan pasaran yang menggalakkan di Malaysia dan global menyumbang kepada pertumbuhan 29 peratus dalam pendapatan boleh agih, manakala aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM1.21 trilion.

"Pasaran Malaysia telah mendapat manfaat daripada peningkatan sentimen pelabur terhadap dasar berorientasikan pertumbuhan dan pembaharuan fiskal," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, pasaran global seperti Amerika Syarikat (AS) pula mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kukuh, penurunan inflasi dan jangkaan permulaan kitaran pengurangan kadar faedah.

"Walaupun keadaan pasaran yang agak tenang, risiko dilihat akan kekal berikutan penjualan baru-baru ini dalam pasaran global dan peningkatan mendadak dalam turun naik yang disebabkan oleh peserta pasaran yang melepaskan beberapa kedudukan yang tertumpu dan sesak.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan meneruskan strateginya untuk membina portfolio yang pelbagai didorong oleh alokasi aset strategiknya.” jelas beliau.

Ahmad Zulqarnain berkata, pasaran buruh negara yang berdaya tahan menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran daripada 3.5 peratus pada suku kedua tahun lalu kepada 3.3 peratus pada S2 2024.

"Pada enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 235,032 ahli baharu telah didaftarkan, menjadikan jumlah keahlian kepada 16 juta," ujarnya.

Tambah beliau, sejumlah 8.6 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.15 juta tenaga buruh Malaysia.

"Pendaftaran majikan baharu yang direkodkan dalam tempoh tersebut ialah 37,284, menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 610,357.

Jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM50.48 bilion pada enam bulan pertama 2023 kepada RM57.35 bilion bagi tempoh sama tahun ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!