PRK Nenggiri: Pilih wakil rakyat boleh jadi jambatan penghubung dengan kerajaan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

GUA MUSANG - Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memerlukan wakil rakyat yang boleh menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan Persekutuan supaya segala isu infrastruktur asas dan kemudahan awam di kawasan itu dapat diurus dengan lebih cekap.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini memandangkan saiz DUN itu yang sangat luas dan masih banyak ruang untuk penambahbaikan dari segi kedua-dua perkara berkenaan untuk keselesaan penduduk.

"Kerajaan Pas Kelantan tak cukup duit untuk buat jalan besar, jambatan besar, lampu jalan, klinik, hospital dan sebagainya, sebab itu kerja kami (kerajaan Pusat) untuk memastikan ia dilaksanakan.

"Oleh itu, wakil kita saudara Awie, sudah tetapkan untuk memastikan projek kerajaan Pusat dilaksanakan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa hampir sejam beramah mesra bersama penduduk di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Kuala Sungai di sini hari ini.

DUN Nenggiri yang berdepan pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.

Berbaki tiga hari sahaja lagi kempen PRK, Ahmad berkata, beliau berpuas hati prestasi jentera BN sama ada tempatan dan luar Kelantan yang membantu di Nenggiri, namun berharap mereka terus berwaspada dengan segala bentuk ancaman pihak lawan.

"Teruskan segala usaha dan jangan memberhentikan gerak kerja, malah tambah lagi untuk kita pastikan DUN Nenggiri boleh ditawan semula BN kerana kita mewakili kerajaan pusat yang membawa banyak pembangunan di kawasan ini," katanya.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, setelah bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!