PRK DUN Mahkota: PN mesyuarat di Kluang esok

Dr Sahruddin
Dr Sahruddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu mesyuarat akan diadakan Perikatan Nasional (PN) Johor bagi membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Rabu.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, mesyuarat yang akan dihadiri pucuk pimpinan Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) peringkat negeri itu akan diadakan di daerah Kluang.

"PN Johor sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama rakan parti komponen negeri sebelum ini.

"Esok (Rabu) kita akan adakan mesyuarat lebih terperinci bagi PRK DUN Mahkota secara khusus.

"(Mesyuarat) dijangka dihadiri Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan wakil Gerakan Johor sama ada timbalan pengerusi atau setiausaha," katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.

Dr Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor memaklumkan calon bagi PN pada PRK DUN Mahkota akan ditentukan pucuk pimpinan PN pusat.

Artikel Berkaitan:

Namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu menjelaskan PN Johor akan mengusulkan beberapa nama untuk dinilai sebagai calon.

"Mengenai hal calon ini, PN Pusat yang memberi ulasan lanjut kerana kita hanya akan mengusulkan dan terpulang kepada pucuk pimpinan memberi kata putus," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!