Guna saluran betul lafaz cerai, bukan di media sosial - Mohd Na'im

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam diseru menggunakan saluran betul dengan mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi proses penceraian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, penceraian di luar mahkamah termasuk melalui platform media sosial berkemungkinan sah, namun bertentangan dengan undang-undang syariah sedia ada.

"Ini kerana ia tidak mendapat kebenaran daripada pihak mahkamah dan perbuatan ini boleh dikenakan penalti tidak kurang RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

"Atas asas tersebut, saya seru pasangan suami isteri jika tidak boleh lagi berdamai, maka failkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bercerai daripada mahkamah syariah di tempat mereka bermustautin," katanya selepas merasmikan Surau Al-Marjan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Batu Muda di sini pada Selasa.

Mohd Na'im (tengah) pada Majlis Perasmian Surau Al-Marjan SMK Batu Muda di sini pada Selasa.
Mohd Na'im (tengah) pada Majlis Perasmian Surau Al-Marjan SMK Batu Muda di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas lafaz cerai oleh Dr Rushdi Ramli kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin menerusi platform media sosial pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, penceraian adalah perkara dibenci oleh ALLAH SWT yang perlu dielakkan dengan mencari jalan pendamaian.

"Jika tetap mahu bercerai biarlah dengan cara baik iaitu dengan pasangan memfailkan permohonan penceraian di jabatan agama. Di sana terdapat unit kaunseling yang akan mendamaikan pihak tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tidak berjaya juga, permohonan perlu dibuat ke mahkamah syariah di bawah Seksyen 47 iaitu kebenaran bercerai terletak kepada hakim yang akan menentukan," katanya.

Ujarnya, tidak seharusnya media sosial dijadikan plaftorm lafaz cerai apatah lagi digunakan untuk membuka aib pasangan masing-masing.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!