Hasil dapatan pertemuan Speaker DUN dibincang di persidangan

Mohd Sharkar (dua dari kiri) menunjukkan kemudahan yang ada kepada Johari (dua dari kanan) ketika Program Lawatan Kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke DUN Pahang sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia 2024 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
Mohd Sharkar (dua dari kiri) menunjukkan kemudahan yang ada kepada Johari (dua dari kanan) ketika Program Lawatan Kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke DUN Pahang sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia 2024 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Hasil dapatan daripada pertemuan dengan Speaker seluruh negeri akan dibincangkan dalam Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024 yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 11 hingga 14 September depan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, satu panduan akan disediakan melalui persidangan itu bagi memartabat dan memperkasakan institusi berkenaan.

Menurutnya, bagi tujuan itu, lawatan kerja dilakukan ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan bertemu Speaker bagi berkongsi pengalaman dan idea secara bersama sekali gus membentuk keseragaman serta penambahbaikan dalam sidang Parlimen dan negeri.

"Setiap perjalanan sidang DUN (di setiap negeri) mesti ada perbezaan dan kelebihan.

"Jadi, pada persidangan itu, kita harap ada benda (perkara) baharu yang kita tidak fikirkan, tapi dibentang atau dicadangkan.

"Hasil persidangan itu, kita akan cadangkan dan harap kerajaan pertimbangkan permohonan, serta dapat seragamkan di Parlimen dan DUN untuk manfaat terbaik," katanya ketika sidang akhbar di Wisma Sri Pahang, di sini pada Selasa.

Kunjungan Johari ke Pahang bagi Program Lawatan Kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke DUN Pahang sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia 2024.

Sebelum ini, Johari turut mengadakan lawatan ke Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS) di sini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Timbalan Speaker DUN Pahang, Lee Chin Chen.

Menyentuh mengenai lawatan ke seluruh negeri, Johari memaklumkan secara keseluruhan pertemuan bersama Speaker sudah hampir selesai di Semenanjung

"Khamis ini, saya akan ke Selangor, selepas itu (mungkin) Sabah dan Sarawak" katanya.

Johari turut memberitahu, selain Speaker, Timbalan Speaker dan Setiausaha DUN turut sama menyertainya.

"Semua akan berkumpul di dan membentangkan beberapa kertas cadangan, di samping menyediakan resolusi untuk cadangkan kepada kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!