Kepakaran industri perkapalan Malaysia diiktiraf

Pengarah Urusan dan Pengasas KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd, Khee Chee Kheong (kanan) memberi penerangan kepada Adly (tengah) pada Majlis Penyempurnaan Pembinaan Kapal Peronda 38M Sea Eagle di Northern Shipyard Sdn Bhd pada Selasa.
Pengarah Urusan dan Pengasas KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd, Khee Chee Kheong (kanan) memberi penerangan kepada Adly (tengah) pada Majlis Penyempurnaan Pembinaan Kapal Peronda 38M Sea Eagle di Northern Shipyard Sdn Bhd pada Selasa.
A
A
A

LANGKAWI - Kepercayaan Tentera Laut Nigeria menempah kapal peronda 38M Sea Eagle daripada syarikat tempatan berpangkalan di Pulau Langkawi mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan dan kepakaran industri perkapalan Malaysia.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kapal peronda 38M Sea Eagle bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri tempatan, malah membuktikan bahawa Malaysia mampu menghasilkan teknologi tinggi yang setaraf dengan negara-negara maju.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada kerjasama erat antara pihak Tentera Laut Nigeria, KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd dan Northern Shipyard Sdn Bhd.

"Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam projek ini.

"Ia adalah manifestasi usaha gigih dan dedikasi semua yang terlibat dari peringkat reka bentuk hingga ke peringkat pembinaan dan ujian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Kapal Peronda Tentera Laut Nigeria 38M Sea Eagle di Northern Shipyard di sini pada Selasa.

Adly berucap pada Majlis Penyempurnaan Kapal Peronda Tentera Laut Nigeria 38M Sea Eagle di Northern Shipyard pada Selasa.
Adly berucap pada Majlis Penyempurnaan Kapal Peronda Tentera Laut Nigeria 38M Sea Eagle di Northern Shipyard pada Selasa.

Beliau berkata, pembinaan kapal peronda itu bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri tempatan dalam menghasilkan aset berkualiti tinggi, tetapi juga membuktikan kebolehan, kemahiran, dan kepakaran rakyat tempatan dalam pembuatan kapal negara.

Artikel Berkaitan:

Adly menyifatkan, kejayaan itu menjadi bukti bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri ini, sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia.

"Industri maritim negara memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselamatan perairan dan kedaulatan negara.

"la bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada ekonomi maritim, tetapi juga merupakan sektor strategik yang menyumbang kepada ekonomi negara dalam memenuhi keperluan serta cabaran yang dihadapi di perairan serantau dan antarabangsa," katanya.

Menurut Adly lagi, 38m Sea Eagle direka dengan keupayaan dan ciri-ciri yang canggih, sesuai dengan kehendak dan keperluan operasi Tentera Laut Nigeria.

Beliau berkata, kapal peronda itu akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan perairan Nigeria termasuk membanteras kegiatan jenayah di laut seperti penyeludupan, lanun dan pencerobohan.

"Saya yakin bahawa aset ini akan memberi sumbangan yang besar dalam menjalankan tugas-tugas pengawasan dan keselamatan perairan negara tersebut.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tentera Laut Nigeria atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia, khususnya kepada KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd, dalam menghasilkan aset strategik ini, kepercayaan ini mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan dan kepakaran industri Malaysia," katanya.

Adly berkata, beliau turut dimaklumkan tentang projek Manta, iaitu sebuah lagi bot Tentera Laut Nigeria yang masih dalam pembinaan sedang giat diusahakan.

Ujarnya, ia membuktikan kepercayaan negara luar ke atas kemampuan dan keupayaan industri tempatan.

Sehubungan itu, beliau ingin menegaskan komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan industri tempatan.

"Kita akan terus memberi sokongan kepada syarikat-syarikat tempatan yang terlibat dalam sektor ini supaya mereka dapat terus berkembang dan bersaing di peringkat global," katanya.

Beliau menambah, kerjasama dengan negara-negara sahabat seperti Nigeria juga merupakan langkah yang penting dalam memperkukuhkan hubungan bilateral serta membuka peluang-peluang baharu dalam bidang pembuatan kapal tempatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!