Tipu jual beli lot tanah, 'Siti Aisyah' ditahan lagi

Dalang tipu jual beli lot tanah dikenali 'Siti Aisyah' ditahan di Gombak, Selangor dan kini direman tiga hari.
Dalang tipu jual beli lot tanah dikenali 'Siti Aisyah' ditahan di Gombak, Selangor dan kini direman tiga hari.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan penipuan jual beli lot tanah yang dipercayai didalangi individu dikenali sebagai 'Siti Aisyah' merekodkan kerugian berjumlah RM547,650 sejak tahun 2016.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 15 laporan polis telah diterima membabitkan wanita terbabit.

Menurutnya, terbaharu pada Isnin, suspek telah ditahan di Gombak, Selangor bersabit satu kes penipuan membabitkan mangsa seorang pesara berusia 59 tahun dalam urusan penjualan sebidang tanah lot yang kerugian RM60,400.

"Suspek sedang direman selama tiga hari sehingga 14 Ogos untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini pada Selasa.

Ramli
Ramli

Ramli berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemilik tanah kononnya untuk membeli tanah tersebut.

Dedah beliau, pada masa sama, suspek akan mengiklankan penjualan tanah tersebut secara pecahan lot.

"Bagi meyakinkan mangsa, suspek akan menunjukkan dokumen pembelian tanah tersebut ataupun mendakwa bahawa dia telah memperoleh kuasa mentadbir daripada pemilik asal tanah.

Artikel Berkaitan:

"Percaya dengan dakwaan yang dibuat suspek, mangsa-mangsa akan membuat bayaran bagi membeli lot tanah yang ditawarkan," ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini enam kawasan di Selangor telah digunakan oleh suspek dalam tawaran penjualan lot tanah yang dilakukannya.

Jelasnya, empat akaun bank telah dikenal pasti digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa iaitu tiga daripada akaun didaftarkan atas nama individu termasuk dua daripadanya adalah milik suspek sendiri, manakala satu lagi akaun didaftarkan atas nama syarikat suspek iaitu Izz Ikhwan Legacy Sdn Bhd.

"Siasatan turut mendedahkan beberapa individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan penipuan itu," ujarnya.

Tambah beliau, suspek telah dituduh bersabit empat kes penipuan penjualan lot tanah dan perbicaraan bagi kes itu masih berjalan di mahkamah.

"Orang ramai yang mungkin telah menjadi mangsa digesa untuk tampil dan membuat laporan polis di balai polis berhampiran bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Justeru, kata Ramli, sebagai panduan, individu yang berminat untuk membeli tanah dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran harga yang murah, pastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah, buat semakan di pejabat tanah serta berjumpa dengan tuan tanah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!