27 kes peguam pecah amanah libat kerugian RM20.3 juta direkod

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 27 kes penipuan melibatkan peguam direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini sehingga Julai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah kes tersebut, kerugian dicatatkan sebanyak RM20.3 juta.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kes penipuan melibatkan peguam akan terus meningkat.

"Sehubungan itu, PDRM menasihatkan pihak yang berurusan dengan pihak peguam khususnya melibatkan wang dalam jumlah besar disarankan untuk sentiasa menyemak keberadaan wang tersebut agar kes penipuan dapat dielakkan.

"Untuk rekod, sebanyak 29 kes pecah amanah jenayah oleh peguam disiasat dengan melibatkan kerugian berjumlah RM13 juta pada 2022, manakala pada tahun lalu meningkat kepada 31 kes membabitkan kerugian sebanyak RM33.3 juta," katanya ketika sidang akhbar pada Selasa.

Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia 72 tahun yang didakwa ditipu oleh sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

Kata beliau, mangsa yang merupakan seorang pesara sebuah syarikat swasta telah melantik firma guaman tersebut pada 27 November 2023 dan menandatangani perjanjian pada 14 Mac lalu.

Jelasnya, perjanjian itu membabitkan urusan penjualan tanah berkeluasan 518 meter persegi di daerah Batu Pahat, Johor dengan harga dipersetujui sebanyak RM140,000.

Artikel Berkaitan:

"Pada 20 Jun lalu, pembeli telah memperoleh kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan dan wang berjumlah RM140,000 itu telah dibayar ke akaun klien milik firman guaman yang dilantik mangsa.

"Sejak Julai lalu sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak peguam terlibat.

"Lebih malang, mangsa dua kali menerima cek kononnya sebagai bayaran penjualan tanah, namun kedua-dua ditolak oleh pihak bank atas alasan terdapat pindaan pada cek tersebut," ujarnya.

Beliau berkata, jumlah kes pecah amanah oleh peguam mungkin kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan peguam yang berdaftar.

Namun begitu katanya, nilai kerugian yang direkodkan bagi satu-satu kes adalah amat besar.

Sehubungan itu tegas beliau, PDRM memandang serius isu penipuan melibatkan peguam dan usaha sewajarnya diambil bagi mengekang kes seumpama itu daripada terus berlaku.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!