Bukan angan kosong

Iman berkongsi keterujaan apabila dapat membawa kedua orang tuanya menunaikan umrah hujung bulan ini.
Iman berkongsi keterujaan apabila dapat membawa kedua orang tuanya menunaikan umrah hujung bulan ini.
A
A
A

MUDA, cantik, lincah dan bergaya. Empat perkataan itu sudah cukup untuk memberi gambaran mengenai gadis bernama Siti Nur Alyssa Sahabudin atau lebih dikenali sebagai Iman Troye.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan, gadis yang bakal menginjak ke usia 22 tahun pada Disember depan, kini merupakan antara penyanyi popular tanah air dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Namun tidak mudah larut dengan populariti pantas yang menghinggapinya, anak bongsu daripada tiga beradik itu sedari awal sudah memasang visi dan misi tersendiri dalam industri seni.

Jelas Iman, penglibatannya dalam dunia muzik bukan sekadar kerana minat, tetapi didukung dengan impian besar.

Apatah lagi, impian yang diukir itu turut memberi manfaat kepada kedua-dua ibu dan bapanya.

"Saya ada lima impian iaitu mahu ada album mini, persembahan mini, rumah, kereta kedua dan bawa kedua-dua ibu bapa saya mengerjakan umrah bersama.

"Bagaimanapun Alhamdulillah, impian untuk membawa ibu dan bapa saya menunaikan ibadah umrah akan terlaksana sedikit masa lagi.

"Saya tahu, sudah lama ibu dan bapa mahu ke Tanah Suci, tetapi sebelum ini sukar menjadi kenyataan kerana kesibukan tugas. Kali ini mereka tiada alasan lagi untuk menolak," katanya kepada SinarPlus ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Teman Malam dan produk inovasi terbaharu iaitu Kotex Total Protection baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Teman Malam dihasilkan Iman dan diinspirasikan daripada pengalaman sendiri serta berharap dapat menghilangkan stigma haid.
Teman Malam dihasilkan Iman dan diinspirasikan daripada pengalaman sendiri serta berharap dapat menghilangkan stigma haid.

Tambah Iman, kejayaan memenuhi salah satu impian mendorong beliau untuk terus bekerja keras pada masa depan bagi memastikan segalanya bukan hanya sekadar angan kosong.

Katanya, pelbagai perancangan sudah dirancang dan beliau meletakkan sasaran untuk mengadakan persembahan mini bersama rakan seangkatan di bawah label syarikat muzik yang sama.

"Ikutkan saya dan syarikat pengurusan ada perancangan untuk mengadakan showcase mini dengan artis yang berada di bawah satu bumbung. Bagaimanapun setakat ini, kami masih mencari tarikh yang sesuai.

"Apa yang boleh saya katakan, perancangan itu mungkin dilaksanakan penghujung atau awal tahun depan. Dalam masa sama, saya juga merancang untuk menyiapkan album mini tidak lama lagi," jelasnya yang turut memberi bayangan akan bekerjasama dengan beberapa artis selepas ini.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Iman berkata, beliau kini sibuk mempromosikan lagu Teman Malam, yang merupakan lagu istimewa bersama produk kebersihan haid, Kotex.

Dalam masa sama, Iman juga sedang dalam rangka promosi lagu terbaharunya, Bunga Kemboja.

"Tidak ada sebarang isu bila saya lancarkan dua lagu dalam tempoh yang singkat kerana kedua-dua lagu ini berbeza.

"Teman Malam mendapat sentuhan lirik daripada saya, diinspirasikan daripada pengalaman sendiri dan dihasilkan bertujuan menghilangkan stigma haid.

"Saya sangat teruja apabila diberi kepercayaan oleh Kotex dan saya berharap mereka yang mendengar lagu itu boleh menerima serta belajar," ujarnya.

Positif

Biarpun masih muda, Iman kini mengejar sasaran hidupnya.
Biarpun masih muda, Iman kini mengejar sasaran hidupnya.

Tidak hanya sekadar perbualan mengenai karier dan perancangan, perbualan kami pada petang itu beralih mengenai isu yang masih hangat diperkatakan pada masa kini iaitu buli siber.

Mengakui tidak terlepas daripada menjadi mangsa kecaman dan buli, anak jati negeri Selangor itu mengambil semua itu daripada sudut positif.

"Sejak dulu lagi, saya suka baca komen tidak kiralah ia baik atau buruk, kedua-duanya saya ambil. Bagi saya selagi masih ada orang tegur, lebih baik daripada tidak dipedulikan lagi.

"Mungkin ada orang tegur kerana ada salah silap kita yang tidak kita sedari, tetapi dalam masa sama, ia bukan tiket buat netizen cakap ikut sedap mulut.

"Sebaiknya, sebelum menaip sesuatu atau meluahkan pendapat, fikir dahulu dan jangan hanya ikutkan perasaan sahaja. Ingat dosa kita dengan ALLAH boleh minta ampun, tetapi kesalahan sesama manusia bukan mudah untuk diselesaikan," katanya yang meminta ibu dan bapa mengawal penggunaan gajet anak-anak mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!