14 warga China tiba dari Wuhan telah dihantar pulang: Muhyiddin
Kuala Lumpur - Seramai 14 warga China berasal dari Wuhan yang tiba di negara ini dengan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin telah dihantar pulang ke negara asal.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu diambil berikutan langkah kerajaan yang menghalang pelancong dari Wuhan serta Wilayah Huibei, China memasuki negara ini.
“Hasil semakan dokumen yang dilakukan petugas Jabatan Imigresen Malaysia di KLIA mendapati 14 individu berkenaan berasal dari Wuhan, China.
"Kita telah mengeluarkan notis ‘Not To Land’, ia berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai kerana mereka tidak dibenarkan masuk melalui semua pintu masuk ke negara ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pagi tadi.
Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin memaklumkan sebanyak tujuh kes penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus telah diambil tindakan oleh pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Orang ramai diingatkan supaya tidak memutarbelitkan fakta dan menyebarkan berita palsu mengenai virus berkenaan di media sosial kerana tindakan itu boleh mengakibatkan masyarakat panik serta takut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!