Tiada petunjuk, operasi cari dua pemancing hilang dihentikan

Op Carilamat pada Selasa gagal mengesan kedudukan bot bernombor TRF 942 yang karam dalam insiden pelanggaran dengan sebuah tongkang pada Ahad lalu.
Op Carilamat pada Selasa gagal mengesan kedudukan bot bernombor TRF 942 yang karam dalam insiden pelanggaran dengan sebuah tongkang pada Ahad lalu.
A
A
A

KEMAMAN - Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) selama tiga hari bagi mengesan dua pemancing yang masih hilang dalam tragedi bot karam di perairan Kemaman ditamatkan jam 7 malam pada Selasa.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritim Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, operasi tersebut ditamatkan selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk.

Menurutnya, pihaknya percaya badan bot karam gagal ditemukan kerana telah dihanyutkan arus kuat pada hari kejadian.

"Sembilan orang penyelam dari Skuadron Selam di bawah kendalian Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (Star Team) Maritim Malaysia telah melakukan selaman di kawasan seluas 120 meter persegi bagi mencari badan bot.

"Walaupun jarak penglihatan baik iaitu pada jarak 10 meter dan arus laut juga normal, skuad penyelam masih gagal menemui sebarang petunjuk," katanya ketika sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat Zon Maritim Kemaman di sini, pada Selasa.

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha pencarian akan diteruskan dalam skala lebih kecil di sekitar lokasi kejadian oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu.

"Operasi hari ini melibatkan lima aset udara dan lalu dengan 80 kekuatan anggota Maritim, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis marin.

Artikel Berkaitan:

"Mulai esok (Rabu) hanya dua aset Maritim akan meronda di kawasan sekitar lokasi kejadian untuk mengesan mangsa," ujarnya.

Beliau berkata, Op Carilamat pada Selasa meliputi kawasan seluas 407.84 batu nautika persegi termasuk di laut dan udara.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar komuniti maritim menyalurkan maklumat sekiranya terjumpa sebarang objek atau petunjuk berkaitan kejadian.

Jelas beliau, orang awam yang menemui sebarang petunjuk atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Kemaman di talian 011-13390521 atau terus ke Pangkalan Hadapan Carilamat yang diaktifkan di Pejabat Maritim Kemaman.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, sebuah bot nelayan yang dikendalikan dua tekong dan tujuh pemancing karam selepas dikatakan dilanggar tongkang, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.

Mayat dua pemancing iaitu Shahril Ismail, 50, dan Siti Zaminah Mohman Zobini, 29, ditemukan pada hari yang sama manakala dua lagi mangsa iaitu Yusoff Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25, masih belum ditemui.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!