Jenazah Allahyarham Istiqomah dijangka boleh dituntut minggu depan

Keluarga Allahyarham Istiqomah sebelum ini dilapor berkata masih menunggu kebenaran daripada pihak polis berhubung tuntutan jenazah untuk dibawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan, bagi tujuan pengebumian.
Keluarga Allahyarham Istiqomah sebelum ini dilapor berkata masih menunggu kebenaran daripada pihak polis berhubung tuntutan jenazah untuk dibawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan, bagi tujuan pengebumian.
A
A
A

MELAKA - Polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bahagian kepala dan tulang sebelum jenazah Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dipercayai dibunuh kejam dapat dituntut oleh waris keluarga.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, proses itu dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya minggu depan selepas dua bahagian tersebut antara anggota tubuh yang baharu ditemui.

Menurutnya, anggota badan itu berjaya ditemui susulan penahanan suspek utama yang juga kenalan lelaki kepada mangsa berusia 37 tahun itu.

"Buat masa ini tunggu keputusan DNA jari dan kepala serta arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) sebelum jenazah dibawa keluar dan dituntut dari hospital.

"Jangka minggu hadapan dan kalau dapat dilakukan lebih awal saya akan maklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut Ashari berkata, siasatan berhubung kes itu masih diteruskan bagi membolehkan kertas siasatan dapat dilengkapkan.

Ujarnya, pada masa sama polis turut giat mengesan beberapa bahagian anggota lain yang dipercayai dibuang di beberapa kawasan berbeza oleh suspek yang juga bekas guru itu.

"Untuk makluman semua, siasatan masih belum lengkap sepenuhnya dan masih banyak tindakan yang perlu diambil oleh pihak polis untuk memastikan siasatan kes ini dapat dapat disiapkan.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH jika semuanya sudah selesai satu siaran media akan dibuat sendiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dan saya harap rakan media dapat bersabar," ujarnya lagi.

Terdahulu Sinar Harian pada Isnin melaporkan kehilangan seorang guru wanita sejak lapan bulan lalu akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui pada 31 Disember lalu adalah milik Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.

Menurutnya, risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!