Ringgit ditutup mengukuh

Pada jam 6 petang ini, ringgit mencecah ke paras 4.4440/4505 berbanding dolar AS daripada 4.4500/4580, semalam .Gambar hiasan
Pada jam 6 petang ini, ringgit mencecah ke paras 4.4440/4505 berbanding dolar AS daripada 4.4500/4580, semalam .Gambar hiasan
A
A
A

JANGKAAN prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia lebih baik yang bakal diumumkan pada Jumaat ini, menyuntik pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa.

Pada jam 6 petang ini, ringgit mencecah ke paras 4.4440/4505 berbanding dolar AS daripada 4.4500/4580, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi ringgit dilihat optimis dalam jangkaan pertumbuhan KDNK itu selain andaian Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan menurunkan kadar faedah dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada September ini.

"Ringgit dalam kedudukan mengukuh berbanding mata wang utama kecuali pound Britain susulan United Kingdom mencatat kadar pengangguran lebih rendah serta pertumbuhan gaji lebih baik yang mengatasi jangkaan awal,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, Indeks Harga Pengeluar (IHP) AS yang akan diumumkan lewat malam ini akan turut menjadi tumpuan utama peserta pasaran dalam usaha mendapatkan petunjuk baharu.

"Unjuran konsensus atau ramai pihak menjangkakan IHP mencecah 2.3 peratus pada Julai berbanding 2.6 peratus pada Jun," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama pada akhir urus niaga hari ini.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.8520/8591 daripada 4.8630/8717; mengukuh berbanding yen Jepun pada 3.0053/0099 daripada 3.0206/0263 namun susut berbanding pound Britain pada 5.6839/6922 daripada 5.6760/6862, sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ringgit juga kebanyakannya diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN kecuali mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3590/3642 daripada 3.3600/3663, semalam.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun turun berbanding rupiah Indonesia kepada 280.6/281.1 daripada 278.8/279.5, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.6351/6578 daripada 12.6130/6414 serta susut berbanding peso Filipina pada 7.80/7.81 daripada 7.76/7.78, sebelum ini.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!