HQE2, UMS lakukan pembedahan otak secara sedar pada pesakit 88 tahun

Pakar dari HQE2 dan UMS yang terlibat dalam pembedahan otak secara sedar pada pesakit berusia 88 tahun.
Pakar dari HQE2 dan UMS yang terlibat dalam pembedahan otak secara sedar pada pesakit berusia 88 tahun.
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan secara sedar ke atas lelaki berusia 88 tahun yang mengalami kecederaan otak traumatik (TBI) baru-baru ini.

Pembedahan itu melibatkan pakar bedah otak HQE2 dan pakar bius otak UMS.

Ketua Jabatan dan Perunding Pakar Bedah Saraf HQE2, Dr Mohd Sofan Zenian berkata, pesakit tersebut mengalami kecederaan apabila terjatuh ketika berjalan kaki di kawasan rumahnya dua minggu lalu dan mengalami pendarahan subdural kronik kiri yang besar (SDH).

"Dia mengalami sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, pertuturan yang tidak jelas dan kelemahan badan di sebelah kanan.

"Memandangkan fungsi sarafnya yang semakin merosot, kami segera menghantarnya ke dewan bedah untuk menjalani mini kraniotomi bagi mengalirkan darah beku yang lama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, tujuan melakukan pembedahan tersebut secara sedar untuk menilai fungsi sarafnya secara intraoperatif berikutan pengaliran kira-kira 30 militer (ml) bekuan darah dan pesakit difahamkan telah pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan dan Pakar Neuroanaestetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr Yeap Boon Tat memaklumkan pembedahan mini kraniotomi secara sedar kepada pesakit berkenaan yang juga mengalami penyakit kardio-pernafasan tepat pada masanya.

"Prosedur ini akan mengelakkan dari kesan sampingan pembiusan secara tidur dan mengurangkan keperluan pesakit untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Artikel Berkaitan:

"Ini juga penting untuk mengurangkan kadar jangkitan penyakit nosokomial di ICU," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor merakamkan penghargaan kepada HQE2 atas kepercayaan diberikan UMS untuk bekerjasama dalam pembedahan otak berkenaan.

Jelasnya, UMS amat teruja dan berterima kasih kepada pasukan neurosurgeri HQE2 atas kerjasama yang baik untuk memastikan kemajuan dalam pembedahan otak, saraf dan pembiusan sekali gus memberi manfaat buat rakyat Sabah.

"Saya difahamkan ini kali ketiga UMS berjaya bekerjasama dengan pasukan HQE2 dalam melakukan pembedahan otak secara sedar di Sabah dengan dua pembedahan terdahulu merupakan pesakit menghidap ketumbuhan di otak," katanya.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Datuk Dr Mohd Yusof Ibrahim turut berharap agar lebih banyak kemajuan dalam penjagaan neurosurgikal dan neurokritikal seperti brain suite dapat diberikan kepada hospital tertiari di negeri itu khususnya Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dalam memberi manfaat kepada rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!