Suspek kes rompak kedai emas Kajang maut ditembak

Tangkap layar video dipercayai lokasi kejadian suspek maut ditembak polis berdekatan susur masuk Plaza Tol Sungai Balak di Lebuhraya Kajang Silk pada Selasa.
Tangkap layar video dipercayai lokasi kejadian suspek maut ditembak polis berdekatan susur masuk Plaza Tol Sungai Balak di Lebuhraya Kajang Silk pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam rompakan sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang beberapa bulan lalu maut ditembak polis berdekatan susur masuk Plaza Tol Sungai Balak di Lebuhraya Kajang Silk pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan rondaan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, pasukan terlibat kemudiannya cuba menahan kenderaan dipandu suspek.

"Suspek bagaimanapun enggan berhenti sebelum melepaskan tembakan ke arah pihak polis.

"Berlakunya kejadian tembak menembak antara suspek dan pihak polis sebelum suspek maut ditembak," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, seorang anggota polis turut terkena tembakan dilepaskan suspek namun tidak mengalami kecederaan kerana memakai baju kalis peluru.

"Suspek merupakan seorang lelaki tempatan berumur pertengahan 30-an selain semakan mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah samun.

"Selain itu suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun di kedai emas di Plaza Metro Kajang beberapa bulan yang lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!