Mayat lelaki ditemui atas landasan kereta api
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditemui maut dipercayai dirempuh kereta api di Kampung Melayu Majidee dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selasa, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, laporan mengenai penemuan mayat oleh orang awam itu diterima pada 7.35 pagi.
Menurut beliau, mayat yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna tertiarap di landasan kereta api.
"Siasatan di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah dirempuh kereta api semasa berada di landasan tersebut.
"Anggaran usia mangsa antara 30 hingga 40-an, berkulit sawo matang, rambut pendek dan mempunyai tatu berbentuk naga di bahagian belakang badan.
"Semasa kejadian, mangsa memakai seluar trek berwarna kelabu dan t-shirt berwarna putih tidak berkolar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Raub, siasatan di tempat kejadian juga tidak menemui kesan dan tanda berlaku sebarang pergelutan atau unsur-unsur jenayah ditemui pada jasad mangsa.
Jelasnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi hotline IPD di talian 07-2182323," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!