Pengawal keselamatan maut kereta bertembung lori
KLUANG - Seorang pengawal keselamatan maut apabila kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Batu Pahat - Mersing berhampiran Kampung Sri Lukut, Kahang di sini pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam kejadian jam 3.33 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Thaufik Mohd Sukiman, 35.
Menurut beliau, Proton Wira itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke Mersing, manakala lori tiga tan terbabit dari arah bertentangan
"Siasatan awal mendapati, kedua-dua kenderaan itu dipercayai bertembung di tengah jalan menyebabkan kereta Proton Wira berpusing dan terbabas ke kiri jalan, manakala lori terbabas ke kanan jalan.
"Akibat pertembungan itu, pemandu Proton Wira mengalami kecederaan parah di muka dan disahkan meninggal di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Bahrin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk menjalani bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jusoh Mohd Salleh berkata, lapan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi nahas untuk membantu mangsa.
Katanya, anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!