Johor sedia khidmat kaunseling kepada keluarga Cikgu Istiqomah
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menyediakan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga mangsa pembunuhan kejam Istiqomah Ahmad Rozi.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata, ia bagi membantu mengembalikan semangat keluarga khususnya anak-anak guru berkenaan.
"Anak-anak arwah yang masih kecil memerlukan sokongan moral dan mental untuk menghadapi masa depan yang penuh cabaran tanpa ibu mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Khairin-Nisa, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tiram Azizul Bachok hari ini meluangkan masa menyantuni keluarga Istiqomah.
"Saya berdoa agar mereka diberikan ketabahan dan kekuatan jiwa serta semoga keadilan ditegakkan dengan pesalah dihukum setimpal dengan perbuatan keji tersebut," katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah dalam kenyataan mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan di tepi jalan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember tahun lepas ialah Istiqomah, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.
Polis telah menahan reman sepasang suami isteri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun isteri suspek berusia 36 tahun yang direman sejak 6 Ogos lepas dibebaskan dengan jaminan polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!