Bekas Mufti Negeri Sembilan meninggal dunia
SEREMBAN - Bekas Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, 79, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Marida, Senawang di sini pada jam 7.43 malam Selasa.
Menantunya, Danial Farhan Dolmat berkata, ayah mentuanya sebelum itu menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM akibat penyakit kanser hati.
"Allahyarham koma pada jam 3.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di hospital dan meninggal dunia dalam keadaan koma. Allahyarham meninggal dalam keadaan tenang dan mudah," katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Pahariah Jamaludin bersama enam cahaya mata yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan serta 20 orang cucu.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maqam Tuan Haji Mohd Said, Sikamat di sini pada pagi Rabu.
Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dalam Facebook rasminya turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Mufti Negeri Sembilan itu.
"Sesungguhnya kami warga Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan menjadi saksi terhadap kebaikan dan jasa Almarhum sepanjang hayatnya serta berdukacita di atas kehilangan yang tiada galang gantinya ini.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," tulisnya.
Allahyarham merupakan Mufti Negeri Sembilan keempat dilantik pada tahun 2009 sebelum bersara pada 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!