Kutipan wakaf bantu pembinaan surau SMK Batu Muda

Mohd Na'im memotong riben sebagai simbolik perasmian Surau Al-Marjan SMK Batu Muda pada Selasa.
Mohd Na'im memotong riben sebagai simbolik perasmian Surau Al-Marjan SMK Batu Muda pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda yang sebelum ini terpaksa menunaikan solat berjemaah di dewan terbuka atau dataran perhimpunan kini menarik nafas lega selepas siapnya pembinaan surau sekolah.

Pembinaan Surau Al-Marjan itu mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan dan dibangunkan menggunakan kutipan wakaf tunai hampir RM624,000 yang memberi manfaat kepada 1, 446 pelajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, jawatankuasa surau telah mengemukakan permohonan kutipan wakaf tunai khas bagi tujuan menaik taraf surau kecil dan tidak mampu menampung jumlah pelajar yang ada.

"Pelajar terpaksa solat berjemaah di dewan terbuka dan dataran perhimpunan sekiranya dewan digunakan untuk program rasmi sekolah.

Mohd Na'im (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Imam Muda Surau Al-Marjan.
Mohd Na'im (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Imam Muda Surau Al-Marjan.

"Alhamdulillah, kutipan wakaf tunai telah dilaksanakan bermula 1 Mac 2022 sehingga 28 Februari 2023 dan berjaya mengumpulkan sebanyak lebih RM624,000," katanya selepas merasmikan Surau Al-Marjan SMK Batu Muda di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya serta Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Beliau berkata, pembinaan surau itu merupakan salah satu daripada enam projek wakaf MAIWP yang berjaya mendapat kutipan mencukupi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, MAIWP sedang berusaha menggerakkan dan memaksimumkan manfaat dana wakaf kepada ummah khususnya di Wilayah Persekutuan.

Mohd Na'im (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada AJK Pembangunan Surau Al-Marjan SMK Batu Muda pada Selasa.
Mohd Na'im (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada AJK Pembangunan Surau Al-Marjan SMK Batu Muda pada Selasa.

Ujarnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah memperkasakan peranan PPZ-MAIWP yang diberikan tanggungjawab bukan sahaja mengutip zakat tetapi turut diberi amanah mengutip wakaf di Wilayah Persekutuan.

"Kutipan wakaf oleh PPZ-MAIWP setakat Januari hingga Julai 2024 hampir RM4. 6 juta dengan jumlah pewakaf seramai 14,376 orang.

"Kutipan ini meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak RM4. 07 juta," katanya.

Tambahnya, PPZ-MAIWP juga baharu melancarkan Kempen 1 Bulan 1 Wakaf yang akan berlangsung selama lima bulan bermula 1 Ogos hingga 31 Disember depan.

"Kempen ini bertujuan untuk mengumpul dana wakaf tunai bagi menampung kos enam projek terpilih yang memerlukan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM22 juta.

"Kutipan tersebut diperlukan bagi pembangunan, menaik taraf dan pembelian peralatan," katanya.

.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!