'Kita tidak gagal, tapi belum berjaya' - Hannah

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan program Road To Gold (RTG) untuk menamatkan kemarau 68 tahun pingat emas sebagai ‘tidak gagal’ sebaliknya belum berjaya.

Beliau berkata, RTG merupakan program jangka panjang yang dilaksanakan bagi dua kitaran Sukan Olimpik untuk membutirkan pingat emas pertama negara iaitu pada Paris 2024 dan Los Angeles pada 2028.

“Seperti yang diumumkan, RTG adalah untuk dua Olimpik iaitu Paris dan Los Angeles. Selepas penubuhan RTG tahun lepas iaitu lebih setahun setengah, kita sasarkan untuk dapatkan (emas) dalam dua Sukan Olimpik ini.

“Jadi kita belum berjaya mendapatkan pingat emas pertama dan seperti yang saya nyatakan pemegang taruh dalam RTG adalah atlet dan jurulatih kerana ini (RTG) adalah ‘top service’ untuk mereka pertingkatkan peluang dapatkan pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus tiba dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Selasa.

Hannah yang juga Pengerusi Bersama RTG berkata, biarpun kontinjen negara tidak membawa pulang pingat emas pada Olimpik kali ini, namun program itu menyaksikan peningkatan prestasi bagi beberapa atlet.

Tambahnya, ia terbukti apabila tiga atlet berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada temasya edisi ke-33 tersebut.

Mereka ialah pelumba basikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta atlet angkat berat. Mohamad Aniq Kasdan selain terdapat beberapa atlet lain memecah rekod peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapat lihat setiap atlet telah bertungkus lumus cuba mendapatkan peluang terbaik untuk meraih pingat.

"Namun, saya bagi pihak kontinjen Malaysia memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kami masih belum berjaya untuk membawa pulang pingat emas yang pertama buat negara," katanya.

Hannah berkata, Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat dan mendapatkan laporan teknikal daripada kesemua pasukan bagi menilai prestasi serta menyediakan laporan beraudit perbelanjaan program itu.

"Kita memerlukan masa untuk bermesyuarat dan menyediakan laporan tersebut kerana berdepan jadual padat susulan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Paralimpik Paris," katanya.

Sukan Olimpik Paris 2024 menyaksikan kem badminton menghadiahkan dua pingat gangsa buat kontinjen negara.

Ia hasil sumbangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!