Ekosistem digital baik, pelabur diyakini kekal walau media sosial dilesenkan

Syed Ibrahim Syed Noh
Syed Ibrahim Syed Noh
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] - Walau berdepan risiko pengendali media sosial menarik diri daripada beroperasi susulan langkah kerajaan melesenkan media sosial dan pesanan internet, pelaburan berasaskan ekonomi digital diyakini masih kuat dengan ekosistem AI, blockchain yang baik di negara ini.

Mengakui risiko itu ada, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ia harga mahal yang perlu dibayar dengan langkah pelesenan tersebut.

"Saya rasa isu ini dibincangkan, apabila sebut sahaja kawalan dan sekatan, kebanyakan syarikat akan tarik diri perlahan-lahan.

"Mungkin peraturan tidak mesra dengan mereka, tapi inilah harga yang kita perlu bayar, sebab harganya memang mahal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi 451 bertajuk ‘Selamatkah alam siber kita? yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Program itu dikendalikan Ismail Adnan sebagai moderator dan turut disertai dua panelis lain iaitu Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia, Mohd Zabri Adil Talib dan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil.

Wacana Sinar edisi 451 bertajuk “Selamatkah alam siber kita?” menampilkan (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Ahli parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Naib Presiden, Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia, Ts. Mohd Zabri Adil Talib dan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wacana Sinar edisi 451 bertajuk “Selamatkah alam siber kita?” menampilkan (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Ahli parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Naib Presiden, Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia, Ts. Mohd Zabri Adil Talib dan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tambah Syed Ibrahim, bagaimanapun beliau tetap yakin negara ini mempunyai ekosistem ekonomi digital yang baik dan mampu memperoleh pelaburan yang besar.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna mereka pasti melihat bahawa Malaysia sebagai tempat yang baik untuk perkembangan dari segi ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), 'blog change' dan sebagainya.

"Ruang itu masih terbuka luas, kalau kita boleh tetap rasional mengadakan perbincangan bersama dengan pengendali seperti Meta dan sebagainya, ruang itu masih terbuka lagi untuk kita sampaikan serta sebutkan kenapa kita perlukan laksanakan pelesenan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat semua agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan lain-lain berperanan memberikan kesedaran.

Ujarnya, kesedaran mesti dilaksanakan secara berterusan di samping memberikan amaran bagi mengelakkan buli siber, gangguan seksual, scam dan sebagainya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!