Pulihkan kembali ekosistem bola sepak - ASFC

Laporan Sinar Harian mengenai isu Ultras Malaya dan sub ultras negeri memboikot Kejuaraan Pestabola Merdeka 2024. Gambar kecil: Faizal Wahid
Laporan Sinar Harian mengenai isu Ultras Malaya dan sub ultras negeri memboikot Kejuaraan Pestabola Merdeka 2024. Gambar kecil: Faizal Wahid
A
A
A

ANAK Selangor Fan Club (ASFC) menyifatkan tindakan Ultras Malaya dan sub ultras negeri memboikot Kejuaraan Pestabola Merdeka 2024 timbul berikutan ketidakpekaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk sukan menyelesaikan beberapa isu dengan segera.

Malah Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, pihaknya yang turut senada dengan Ultras Malaya, juga tidak menafikan tindakan tersebut merugikan pasukan bola sepak negara.

Namun katanya, sekiranya tindakan boikot pemain ke-12 itu menyedarkan FAM untuk memperbetulkan semula ekosistem bola sepak negara, seharusnya usaha tersebut dilihat sudut positif.

“Kami ASFC setuju dengan tindakan Ultras Malaya kerana sebagai pemain ke-12 di belakang pemain, desakan dan tindakan ini seharusnya dapat memberi mesej kepada FAM badan yang bertanggungjawab menguruskan pasukan bola sepak negara.

“ASFC juga kesal dengan senario yang berlaku terhadap skuad kebangsaan dan perkara-perkara musim lalu yang masih berbangkit dalam saingan Liga Malaysia ini.

“Malah agak mengecewakan maklum balas FAM susulan pemboikotan Ultras Malaya serta sub ultras negeri terhadap perkara dinyatakan pergerakan penyokong-penyokong seolah-olah dipandang sepi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada masa sama Faizal juga mencadangkan kepada FAM mengadakan perjumpaan dengan Ultras Malaya dan ultras sub negeri serta kelab penyokong-penyokong bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit.

“ASFC percaya sekiranya FAM sebagai badan induk dapat mengadakan sesi perjumpaan atau dialog dengan ultras dan kelab penyokong-penyokong segala permasalahan yang berlaku dalam arena bola sepak negara dapat di bincang dan diusahakan penyelesaian bersama.

Artikel Berkaitan:

“FAM sewajarnya sedar betapa besarnya pengaruh penyokong-penyokong setiap kali ke stadium dalam menyuntik motivasi kepada pasukan negara.

“Malah mereka juga sanggup berkorban masa, tenaga, wang semata mata hadir menyokong pasukan negara yang tidak dapat dibalas dengan pulangan wang ringgit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!