Sains, Matematik rumit bunuh minat murid

Tekanan untuk mencapai prestasi akademik yang tinggi akan menyebabkan perkembangan murid terabai. Gambar hiasan (Gambar kecil: Othman)
Tekanan untuk mencapai prestasi akademik yang tinggi akan menyebabkan perkembangan murid terabai. Gambar hiasan (Gambar kecil: Othman)
A
A
A

SHAH ALAM - Sukatan pelajaran yang padat serta rumit bagi Sains dan Matematik peringkat sekolah rendah memberi tekanan kepada murid hingga ‘membunuh’ minat mereka dalam subjek tersebut.

Pensyarah Universiti UCSI, Dr Othman Talib berkata, ia berikutan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah menyediakan kandungan kurikulum secara preskriptif yang perlu diikut oleh guru dalam mengajar kedua-dua mata pelajaran tersebut.

“Kurikulum preskriptif merujuk kepada kurikulum yang ditetapkan secara spesifik dan terperinci oleh KPM dengan pelbagai standard pembelajaran dan penilaian tertentu untuk diikuti secara one size fits all (pendekatan satu untuk semua) oleh guru seluruh negara.

“Sukatan pelajaran pula adalah senarai spesifik topik perlu diajar dalam sesuatu mata pelajaran berdasarkan kurikulum tersebut.

“Maka sukatan pelajaran yang preskriptif menjadi sangat membebankan murid di awal persekolahan kerana ia telah menutup ruang kepada guru untuk menyesuaikan kandungan mengikut keperluan dan tahap pemahaman murid,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, perkara tersebut menyebabkan murid yang belum bersedia untuk topik tertentu terpaksa mengikut arus, lalu mengakibatkan tekanan dan kekeliruan.

Menurutnya, sukatan pelajaran preskriptif diikuti dengan tekanan untuk mencapai prestasi cemerlang dalam akademik mengakibatkan perkembangan murid terabai termasuk dari aspek sosial, emosi, dan kreativiti.

“Ini boleh menyebabkan murid kehilangan peluang untuk berkembang dengan cara yang lebih holistik dan seimbang.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya, mata pelajaran telah dimulakan dengan peraturan makmal sains, sedangkan sains di peringkat awal sekolah bukan untuk mengetahui atau melakukan apa sahaja berkaitan dengan fasiliti secara sistematik seperti dalam buku teks, tetapi pengenalan kepada fenomena alam yang dekat dengan murid.

“Kita belajar sains ini untuk mencelikkan akal semua orang atau celik sains. Kita hendak tunjukkan bahawa sains ini satu perkara yang memang ada dalam kehidupan kita,” ujarnya.

Tambah Othman, sukatan pelajaran matematik juga mempunyai beberapa masalah yang dilihat memberi kesan kepada pembelajaran para murid.

Katanya, terlalu banyak penggunaan dialog juga antara masalah yang dapat mengelirukan murid ketika menjawab soalan subjek berkenaan.

Ulasnya, mata pelajaran Matematik sepatutnya perlu mengikut sistem Pengetahuan Pedagogi Kandungan (PCK) iaitu kurangkan penggunaan ayat dan diperbanyakkan latihan.

“Mata pelajaran Sains pun sama. Banyak topik dimulakan dengan dialog berjela-jela sehingga orang dewasa pun sukar untuk mengetahui apakah konsep sains yang cuba dijelaskan, apatah lagi anak-anak di awal persekolahan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!