Kajian atasi kesesakan Cameron Highlands sudah dilaksana - Ir Razali

Laporan muka depan Sinar Ahad mengenai isu kesesakan di Cameron Highlands. Gambar kecil: Ir Razali
Laporan muka depan Sinar Ahad mengenai isu kesesakan di Cameron Highlands. Gambar kecil: Ir Razali
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang kini giat melaksanakan kajian komprehensif untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan pelancongan Cameron Highlands sejak 1 Januari lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kasim berkata, kajian tersebut berlangsung selama sembilan bulan dan dijadualkan berakhir pada 30 September depan.

Menurutnya, kajian ini melibatkan kerjasama erat antara beberapa pihak berkepentingan.

“Kajian ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Daerah Cameron Highlands dan diterajui oleh Highway and Transportation Research Group dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam serta

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA),” kata Razali ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pandangan beberapa ahli akademik yang mencadangkan agar kerajaan negeri mengehadkan kemasukan kenderaan awam di kawasan tertentu di Cameron Highlands.

Langkah ini diambil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat, terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohd Talib Latif, mencadangkan agar kemasukan kenderaan pelancong seperti kereta, van, dan bas hanya dibenarkan di kawasan penginapan atau hotel sahaja.

Artikel Berkaitan:

Cadangan ini, menurutnya, dapat membantu mengurangkan kesesakan dan menjaga kelestarian alam sekitar di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Ir Razali berkata, kajian tersebut merangkumi skop yang luas, termasuk pengumpulan dan penganalisisan data lalu lintas untuk mengenal pasti isu serta masalah berkaitan kesesakan.

“Kami akan menyemak kesesuaian cadangan pembangunan infrastruktur jalan berdasarkan kajian terdahulu,” ujarnya.

Beliau juga menekankan, selepas kajian ini selesai, cadangan kaedah dan pendekatan penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas akan dibentangkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.

“Langkah ini penting untuk memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan data dan analisis yang tepat,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!