Wujudkan peraturan wakil rakyat wajib tunai janji

Parti-parti politik yang bertanding memasang bendera parti masing-masing di sekitar kawasan Jambatan Pulau Setelu sempena PRK DUN Nenggiri. Foto Bernama
Parti-parti politik yang bertanding memasang bendera parti masing-masing di sekitar kawasan Jambatan Pulau Setelu sempena PRK DUN Nenggiri. Foto Bernama
A
A
A

BERBAKI tiga hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos iaitu Sabtu ini berlangsung, parti bertanding baik daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pastinya sudah meningkatkan gear ke tahap paling tinggi bagi kempen masing-masing.

Matlamat setiap parti pastinya untuk memenangi kerusi berkenaan. Bagi Bersatu yang menggunakan lambang Pas, mereka mahu mengekalkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya sebelum ini.

Sementara UMNO pula mahu merampas semula DUN itu selain menonjolkan bahawa masih kuat dan mempunyai sokongan padu akar umbi.

Berdasarkan pemerhatian, PRK Nenggiri boleh dikatakan 'meriah' dengan pelbagai isu nasional dan setempat dibangkitkan serta dijadikan bahan kempen.

Tidak kurang juga isu-isu menyentuh peribadi turut dimainkan seperti soal pakaian berjenama yang dipakai sewaktu berkempen.

Bagaimana pun ia tidak terhenti di situ kerana jawapan balas mengenai persoalan sewaan helikopter oleh calon BN yang dianggarkan mencecah RM350,000 sehari dan telah melanggar had kos kempen.

Sebenarnya serangan berbentuk peribadi tidak wajar disentuh sewaktu tempoh berkempen dalam keadaan banyak pihak mencadangkan agar politik negara ke arah lebih matang.

Pengundi tidak mahu melihat pertelingkahan pemimpin politik sebaliknya mahu mendengar apa tawaran dan perancangan calon demi kebaikan penduduk di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Serangan peribadi dan idea lapuk sepatutnya ditinggalkan oleh pemimpin politik di Malaysia kerana bukan sahaja memalukan tetapi menonjolkan sikap kurang matang.

Apa sahaja keputusan pilihan raya pada Sabtu ini setiap janji yang diutarakan sewaktu kempen perlu dipenuhi kerana satu undi diberikan adalah harapan daripada pengundi yang telah membuat penilaian.

Kewujudan badan bagi memantau setiap janji pilihan raya merupakan idea baik yang perlu disusuli dengan tindakan.

Mungkin perlu ada satu akta atau peraturan dikenakan kepada mana wakil rakyat atau parti yang hanya pandai berjanji sahaja.

Ia boleh menjadi pelindung kepada pengundi untuk menuntut setiap janji bagi penggal wakil rakyat itu berkhidmat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!