Aina Husna bergurau akan 'pergi dahulu' - Ibu

Aina Husna masih hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka untuk mencandat sotong dan memancing di perairan Kemaman, di sini dilanggar sebuah tongkang.
Aina Husna masih hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka untuk mencandat sotong dan memancing di perairan Kemaman, di sini dilanggar sebuah tongkang.
A
A
A

CHUKAI - Haziyah Harun langsung tidak menyangka gurauan anaknya Aina Husna Mohamad Husaini, 25, bulan lepas yang dia akan ‘pergi dahulu’, bagaikan petanda yang mereka akan berpisah selamanya.

Ketika ini Aina Husna dari Selayang, Selangor dan Yusof Kassam, 66, dari Raub, Pahang, masih hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka untuk mencandat sotong dan memancing di perairan Kemaman, di sini dilanggar sebuah tongkang, kira-kira pukul 6.30 pagi semalam.

Dua yang terkorban dalam nahas berkenaan setakat pagi ialah Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan pembantu tekong Shahril Ismail, 50.

Haziyah Harun, 63, yang terselamat dalam insiden itu berkata, bulan lepas Aina Husna pernah bergurau dengan berkata "agaknya dalam keluarga kita siapa yang akan pergi dahulu? Mungkin saya”.

Muhamad Husaini menunjukkan gambar Aina Husna yang masih hilang selepas bot dinaiki dilanggar sebuah tongkang dalam kejadian pada pagi Ahad.
Muhamad Husaini menunjukkan gambar Aina Husna yang masih hilang selepas bot dinaiki dilanggar sebuah tongkang dalam kejadian pada pagi Ahad.

"Saya betul-betul tak sangka...,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kemaman, Isnin lalu.

Beliau berkata, kejadian berlaku sekelip mata, apabila dalam kegelapan malam bot mereka dilanggar tongkang berkenaan.

"Saya nampak anak saya tercampak, begitu juga beg dan barangan di atas bot. Tidak lama kemudian, bot terbalik dan terkena kepala saya yang terjatuh ke bawah bot.

Artikel Berkaitan:

"Saya terkapai-kapai cuba selamatkan diri, ketika itu anak saya sudah hilang dari pandangan. Jeritan saya memanggil nama mereka tidak bersahut," katanya yang diselamatkan nelayan berhampiran, dan masih berharap anaknya itu ditemui.

Lima yang terselamat dalam kejadian itu ialah kakak kepada Aina Husna, Ain Farhana, 30, Haziyah, tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, dan dua lagi dari Raub iaitu Rosnawi Harun, 50, dan Mat Ali Alahan, 66.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) selama tiga hari bagi mengesan dua pemancing yang masih hilang dalam tragedi bot karam di perairan Kemaman ditamatkan jam 7 malam pada Selasa.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritim Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, operasi tersebut ditamatkan selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!