Peniaga kecil semakin terhimpit

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid (kanan) bertemu dengan Faizah (kiri) di tepi jalan di Mergong, Alor Setar.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid (kanan) bertemu dengan Faizah (kiri) di tepi jalan di Mergong, Alor Setar.
A
A
A

PENJAJA jalanan dan peniaga kecil antara golongan yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang suram pada masa kini.

Kenaikan harga barangan mentah dan kehadiran pembeli yang semakin berkurangan, membuatkan mereka semakin terhimpit.

Golongan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ ini tiada pilihan selain meneruskan perniagaan walaupun pendapatan tidak menentu dan adakala tiada hasil.

Dalam situasi yang semakin mendesak ini, bantuan kerajaan dirayu demi kelangsungan hidup.

Faizah (tengah) menjual makanan dengan dibantu anaknya di tepi jalan di Mergong, Alor Setar.
Faizah (tengah) menjual makanan dengan dibantu anaknya di tepi jalan di Mergong, Alor Setar.

Menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat, Wartawan Sinar Harian, WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR mendengar rintihan dan menyelami permasalahan yang dialami penjaja dan peniaga kecil di Alor Setar.

Seorang penjaja pasar malam di Jalan Pegawai, Alor Setar, Moni Hafriza Abdullah, 43, mengakui pernah terputus pendapatan kerana ketiadaan pelanggan, namun perniagaannya perlu diteruskan setiap hari kerana dia tidak mempunyai pilihan lain.

Dia telah berniaga hampir 30 tahun bersama suaminya berniaga air balang, buah potong dan makanan segera yang digoreng bagi menampung kehidupan mereka bersama empat anak yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

“Berniaga pasar malam ini pendapatan tidak menentu, satu hari boleh dapat dalam RM100, itu pun bukan setiap hari, bila hujan lagi sukar untuk dapat pelanggan.

“Keadaan lebih sukar kerana saya menghidap penyakit tulang belakang bengkok manakala suami pula kencing manis.

“Kami sekeluarga memang bergantung sepenuhnya dengan pendapatan hasil berniaga di pasar malam.

“Pernah kami tiada pendapatan disebabkan kurang pembeli yang ke pasar malam,” katanya.

Dia berharap nasib dan kebajikan penjaja dan peniaga kecil sepertinya akan mendapat perhatian pihak berwajib dan satu peruntukan khas dapat disediakan untuk membantu mereka.

Perkara sama turut diluahkan oleh peniaga makanan, Faizah Md Israel, 50, yang mengakui kehadiran pembeli ke kedainya kurang pada hari biasa.

Peniaga di Jalan Mergong itu berkata, keadaan tersebut memberikan kesan kepada pendapatannya kerana pada waktu yang sama dia perlu membuat pusingan modal termasuk membayar sewa kedai makannya.

“Pendapatan harian saya memang tidak menentu dan boleh dapat lebih sedikit bila tiba hari gaji sahaja. Kalau hari-hari biasa memang pembeli sangat kurang,” ujarnya.

Tambah Faizah, jualan makanannya masih dapat bertahan sehingga hari ini kerana anak sulungnya membantu dengan membuat promosi dan hebahan di media sosial.

Peniaga makanan di Medan Selera Mergong, Roshieda Hassan, 57, pula menyarankan kerajaan Kedah memperluaskan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera supaya dapat dinikmati lebih ramai peniaga wanita selepas pendaftarannya ditutup pada 1 Ogos lalu.

Menurutnya, tabung yang menyediakan bantuan one-off sebanyak RM500 itu dilihat dapat membantu meringankan beban usahawan wanita yang terjejas akibat ekonomi yang suram ketika ini.

“Saya tidak sempat nak ambil borang permohonan sebelum ini kerana sudah habis.

“Ini adalah salah satu usaha yang baik dari kerajaan negeri dan saya harap mereka yang tidak sempat memohon akan diberikan lagi peluang selepas ini,” katanya.

Kerajaan diminta salur bantuan, sediakan food bank

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid menyarankan kepada kerajaan negeri atau Persekutuan supaya menyediakan bantuan makanan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas.

Menurutnya, terdapat seramai kira-kira 5,000 penjaja dan peniaga yang berdaftar serta tidak berdaftar di Alor Setar dan hampir semuanya berada dalam kategorinya B40.

“Golongan ini meraih pendapatan harian hasil perniagaan yang dijalankan dan kadang-kadang hasilnya tidak menentu.

“Dengan keadaan ekonomi yang suram hari ini, sebenarnya ramai yang tidak mampu lagi menyerap kenaikan harga barang.

“Ada dalam kalangan mereka sudah terputus pendapatan kerana tidak lagi berniaga dan mereka ini wajar diberikan bantuan atau disediakan food bank oleh pihak berwajib untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Jelas Mohd Kholib, bantuan makanan, geran mahupun kewangan khas wajar dipertimbangkan supaya mereka yang terjejas dapat kembali bernafas dan meneruskan perniagaan.

Menurutnya, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah bersedia untuk membantu pusat khidmat wakil rakyat menyalurkan maklumat mengenai peniaga- peniaga kecil yang terjejas dan ditimpa musibah seperti kemalangan atau menghidap penyakit yang tidak membolehkan serta menyukarkan mereka untuk berniaga.

“Kerajaan negeri atau pusat juga boleh beri dana khas seperti suntikan modal atau geran RM500 sehingga RM1,000 kepada peniaga berlesen dan mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta betul-betul layak,” katanya.

Tambahnya, ramai penjaja dan peniaga kecil mengeluh dan meluahkan rintihan mereka terhadap situasi semasa dan perniagaan mereka yang tidak memberangsangkan ketika ini.

“Dulu hari-hari buka kedai sebab seronok ramai pelanggan datang membeli, tapi sekarang sekarang dalam seminggu ada yang sampai tiga hari tidak buka kedai sebab tiada pelanggan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!