Unit Integriti bina kepercayaan rakyat

Gambar hiasan. Gambar kecil: Kamaruddin M Ripin
Gambar hiasan. Gambar kecil: Kamaruddin M Ripin
A
A
A

INTEGRITI merupakan aspek utama dalam tadbir urus yang baik dan amat penting dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti serta kebolehpercayaan dalam sektor awam.

Apatah lagi perkara tersebut melibatkan Kementerian Kewangan (MoF) yang mana antara misinya ialah untuk mengurus kewangan awam dengan cekap, telus, berintegriti dan efektif bagi mencapai matlamat pembangunan negara.

Di kementerian berkenaan yang antara fungsinya ialah menggubal dan menyediakan prosedur, prinsip dan tatacara sistem pengurusan kewangan serta perakaunan untuk dipatuhi oleh semua kementerian, sudah pasti soal integriti merupakan keutamaan dalam kalangan warganya.

Namun secara menyeluruh, kerajaan sebenarnya telah pun mengiktiraf kepentingan menegakkan integriti dalam perkhidmatan awam dengan mewujudkan Unit Integriti (UI) sebagai pusat kepada pengurusan isu-isu berkaitan integriti di semua agensi awam.

Sebagaimana yang dinyatakan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Versi1.0 (2022) (sebelum ini PP Bilangan 6 Tahun 2013), unit ini diwujudkan bertujuan bagi memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh hatta meningkatkan semangat patriotisme.

Secara tidak langsung, inisiatif ini juga dapat membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi dalam kalangan penjawat awam.

Dengan menguatkuasakan piawaian khusus, UI di sektor awam mampu memastikan penjawat awam bertindak secara profesional dan bertanggungjawab, menjunjung nilai kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti.

Tambahan pula, UI di sektor awam memainkan peranan proaktif dalam mempromosikan integriti dan etika melalui program latihan, bengkel dan kempen kesedaran.

Artikel Berkaitan:

Dengan mendidik penjawat awam tentang kepentingan menegakkan integriti dalam tugas mereka, ia sekali gus mampu membantu memupuk budaya kejujuran dan ketelusan dalam sektor awam.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui di MoF, UI juga merupakan tempat rujukan penjawat awam dalam kementerian, jabatan dan agensi berhubung isu integriti dan tatakelola.

Bukan itu saja, dalam kebanyakan hal pula, UI akan menjadi pemudah cara apabila berbangkit isu-isu berkaitan dalam agensi terlibat selain menjadi jambatan penghubung terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dengan kewujudan UI ini juga, ia akan dirasai sebagai unit ‘pengawal’ oleh penjawat awam sekali gus menimbulkan rasa gerun untuk melanggar sebarang kesalahan jenayah mahu pun tatakelola.

Dari segi penyelarasan dan pelaporan unit berkenaan, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), SPRM berperanan menyelaras pelaksanaan fungsi unit ini. Bahagian ini turut bertanggungjawab untuk menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan integriti di agensi.

Dalam pada itu, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan pengurusan integriti ini, Ketua Unit Integriti perlu mengemukakan laporan berkaitan pelaksanaannya kepada Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan dan BPIA, SPRM secara berkala.

Selain itu, penubuhan UI di Malaysia menggambarkan betapa tingginya komitmen kerajaan untuk menggalakkan tatakelola yang baik dan memerangi rasuah.

Dengan menggerakkan semua penjawat awam agar bertanggungjawab atas tindakan mereka dan menggalakkan tingkah laku beretika, secara tidak langsung ia membantu membina kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan dan institusinya.

Kesimpulannya, UI memainkan peranan penting dalam memastikan integriti sektor awam di Malaysia.

Sehubungan itu, adalah penting bagi kerajaan untuk terus menyokong dan memperkukuh UI untuk menegakkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam sektor awam ke arah mencapai sistem penyampaian awam yang lebih cemerlang.

* Kamaruddin M Ripin ialah Ketua Unit Integriti, Perbendaharaan Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!