Kes jenayah komersial rekod kerugian RM6.2 bilion

Mohd Zakaria (tengah) pada sidang media Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Mohd Zakaria (tengah) pada sidang media Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira RM6.2 bilion nilai kerugian melibatkan jenayah komersial direkodkan Jabatan Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada Januari sehingga Disember tahun lepas.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, sehubungan itu, pihaknya telah membuka 25,000 kertas siasatan sepanjang tempoh itu melibatkan jenayah komersial.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menahan seramai 15,000 individu termasuk warga tempatan dan asing terlibat dalam jenayah terbabit dalam tempoh tersebut.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 60 hingga 65 peratus kes yang dicatatkan melibatkan 'scammer' hingga ada mangsa terpaksa menanggung kerugian hingga mencecah jutaan ringgit.

"Lebih mengejutkan ada sebilangan mangsa terdiri daripada orang profesional dan terpelajar seperti doktor, pensyarah dan lain-lain," katanya pada sidang media Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan sindiket penipuan berkenaan masih menggunakan modus operandi sama untuk memperdayakan orang ramai, namun masih ada mangsa yang mempercayainya.

Katanya, pihaknya banyak mengadakan kempen kesedaran bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi kesedaran kepada orang ramai, tetapi masih ada yang tertipu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati individu terbabit hanya memerlukan telefon bimbit dan internet untuk mencuba nasib mencari mangsa tanpa menggunakan tenaga yang banyak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, susulan itu, orang ramai dinasihatkan berwaspada supaya tidak mudah terpedaya apabila menerima panggilan tidak dikenali mendakwa dari mana sekalipun tak kira sama ada mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun balai polis.

Menurutnya, orang ramai diminta tidak terlalu cepat percaya hingga terus melakukan transaksi bank kepada individu tidak dikenali demi mengelakkan diri menanggung kerugian, sebaliknya membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu.

Mohd Zakaria berkata, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak takut untuk membuat laporan polis berhubung kes penipuan seumpama itu.

Terdahulu, seramai 396 penerima menerima penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kedah bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang berkhidmat melawan komunis ketika zaman darurat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!