Selangor johan keseluruhan FNKSS 2024
KUALA LUMPUR - Negeri Selangor muncul johan keseluruhan pertandingan Festival Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (FNKSS) Peringat Kebangsaan 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Isnin.
Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Sektor Pendidikan Islam Selangor, Ismail Jaapar berkata, kemenangan itu adalah hasil usaha gigih pelajar dan guru yang memberikan komitmen selama lebih sebulan.
“Tahniah juga kepada peserta khat menengah dan rendah (kategori lelaki, perempuan) kerana berjaya menjadi lima terbaik setiap kategori khat yang dipertandingkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau yang juga ketua kontinjen Selangor berkata, pelajar yang dibawa ke peringkat kebangsaan ini adalah mereka yang benar-benar bersedia dari segi latihan.
“Terima kasih juga kepada ibu bapa murid yang banyak memberikan sokongan terutama kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang khat kerana banyak membantu dalam mencipta kejayaan ini,” katanya.
Menurut Ismail, pihaknya juga berbangga apabila negeri itu buat pertama kalinya berjaya menjadi johan keseluruhan bagi sekolah rendah.
Kejayaan besar
Sementara itu, Ketua Kontinjen Johor, Mohd Najib Nadzar berkata, meskipun terpaksa berpuas hati menjadi johan keseluruhan kategori sekolah menengah, tetapi ia sudah cukup memberikan kepuasan dan mencatatkan sejarah tersendiri buat pendidik dan pelajar di negeri itu.
“Bagi kami ia merupakan kejayaan besar di peringkat kebangsaan hasil komitmen lebih 30 pelajar termasuk guru yang tidak pernah jemu mengadakan latihan sejak dua bulan yang lalu,” katanya.
Tambahnya lagi, latihan bagi peserta khat mendapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar dari Yayasan Warisan Johor.
Bentuk pembangunan jati diri
FNKSS diadakan sejak Jumaat lalu itu mendapat penyertaan 352 peserta daripada 16 buah negeri termasuk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Majllis Penutup FNKSS telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Program Adab Nilai KPM, Mohamad Zaki Hamid bagi mewakili Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh.
Sementara itu Mohamad Zaki berkata melalui festival nasyid dan khat ini murid-murid akan didedahkan dengan perkara berfaedah dan positif.
“Pertandingan ini membentuk pembangunan jati diri dan budi bahasa dalam pergaulan serta semangat bersaing seterusnya mempamerkan penampilan diri yang menyakinkan selaras dengan tema FNKSS ‘Adab dan Nilai Menjana Karamah Insaniah’,” katanya.
Jelasnya, pertandingan seperti ini mampu menjadikan lagu-lagu kerohanian dan seni khat sebagai salah satu wahana dakwah ke arah memupuk amalan cara hidup Islam dalam kalangan murid.
FNKSS melibatkan pertandingan nasyid sekolah rendah dan menengah diadakan di HGH Convention Centre Sentul manakala pertandingan khat di Tamu Hotel Kuala Lumpur.
Reaksi
“Ini juga merupakan kejayaan buat Sekolah Menengah Dato’ Ahmad Maher, Kota Bharu dan tanpa jurulatih yang membantu saya tidak akan sampai ke tahap ini. ”
-Muhammad Nidal Mat Jusoh,16, Johan khat sekolah menengah (Kelantan)
“Kejayaan memenangi pertandingan khat sekolah rendah peringkat Johor tahun lalu mendorong saya mencipta kejayaan diperingat kebangsaan dan ia adalah perkara yang amat membanggakan.”
-Mohamad Aziq Senin, 12, Johan khat sekolah rendah (Johor)
“Usaha berterusan melalui latihan akhirnya dapat menghasilkan khat yang menepati kehendak juri, saya bersyukur diberi kemenangan ini.”
-Irfan Harith Ahmad Juhari, 12, Naib johan khat sekolah rendah (Selangor)
“Kumpulan nasyid Izdan dibentuk hasil kejayaan di peringkat negeri Johor dan kami bergabung semula sekali gus menang di peringkat kebangsaan.”
-Hariz Fahmi Zubair,17, Ketua Kumpulan Izdan (Johor)
“Terima kasih kepada guru dan jurulatih yang telah membantu kami menjadi johan pertandingan nasyid sekolah rendah FNKSS kali ini.”
-Nur Az-Zahara Hamsa, Ketua Kumpulan Al-Insyirah (Sabah)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!