Nilai kerugian jenayah komersial cecah RM1.5 bilion tahun ini

Pembanterasan jenayah komersial dalam era kecanggihan teknologi semasa merupakan cabaran yang menuntut komitmen lebih jitu daripada pihak JSJK khususnya. Gambar hiasan, gambar kecil: Ramli
Pembanterasan jenayah komersial dalam era kecanggihan teknologi semasa merupakan cabaran yang menuntut komitmen lebih jitu daripada pihak JSJK khususnya. Gambar hiasan, gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 18,205 kes jenayah komersial direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini sehingga Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah tersebut bersamaan dengan purata 81 kes sehari.

Beliau berkata, secara perbandingan, jumlah kes yang dicatatkan menunjukkan penurunan lapan peratus, berbanding 19,720 kes yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun lalu.

"Berdasarkan rekod diperoleh, nilai kerugian pada tahun ini setakat 11 Ogos lalu telah mencecah RM1.5 bilion.

"Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 31 peratus jika dibandingkan dengan nilai kerugian berjumlah RM1.1 bilion bagi tempoh sama pada 2023," katanya pada Rabu.

Kata beliau, pembanterasan jenayah komersial dalam era kecanggihan teknologi semasa merupakan cabaran yang menuntut komitmen lebih jitu daripada pihak JSJK khususnya.

Sehingga kini, menurutnya, kes jenayah komersial telah dapat ditangani dengan baik dan ia dizahirkan melalui 10,848 kertas siasatan yang telah berjaya dituduh di mahkamah.

Katanya, menjelang akhir tahun ini, JSJK menjangkakan kes jenayah komersil akan terus melonjak dan bakal menjadi lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, jangkaan tersebut merupakan satu cabaran kepada PDRM untuk terus melipat gandakan usaha dalam membanteras kegiatan jenayah komersial.

"Pada masa yang sama, PDRM menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing khususnya dalam usaha pencegahan jenayah komersial," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!