Selepas gempa bumi, Jepun dijangka dilanda taufan

Gambar kecil: Kamal Zharif Kamaludin
Gambar kecil: Kamal Zharif Kamaludin
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas kejadian gempa bumi Khamis lalu, penduduk di Jepun sekali lagi perlu bersiap sedia susulan negara itu dijangka akan dilanda taufan pada Sabtu ini.

Konduktor pelancongan, Kamal Zharif Kamaludin, 37, berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Jepun, sekarang ini terdapat tiga taufan berada berdekatan negara itu pada waktu yang sama.

"Purata bilangan taufan yang betul-betul terkena Jepun adalah dalam dua kali. Gempa bumi di Jepun baru habis, Sabtu ini orang di Tokyo perlu menghadap taufan pula.

"Jepun ini ada sistem amaran mengikut tahap. Contohnya apabila telefon pintar menerima penggera amaran tahap empat, itu bermaksud orang perlu berpindah kerana isu paras air yang meningkat," ujarnya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Sebelum itu, Jepun melaporkan tsunami kecil di bahagian barat daya negara itu susulan gempa bumi berukuran 7.1 magnitud yang melanda wilayah Miyazaki dan kawasan lain pada Khamis, kata agensi cuaca negara itu.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), Pelabuhan Miyazaki di selatan wilayah Miyazaki dilanda ombak tsunami setinggi 50 sentimeter (cm) selepas gempa itu.

JMA berkata, nasihat tsunami telah dikeluarkan untuk wilayah Miyazaki, Kochi, Ehime, Oita, Kagoshima di pulau Kyushu dan Shikoku.

Tambah Kamal Zharif, Tokyo pernah menerima amaran tahap tertinggi iaitu tahap lima dan beberapa perkara yang akan dilakukan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Yang pertama, meminta penduduk selamatkan nyawa mereka, tidak kisah apa cara yang digunakan supaya mereka masih dapat teruskan hidup.

"Penduduk juga diminta untuk tinggal di bangunan kukuh yang berdekatan dan pindah ke kawasan tingkat bangunan lebih tinggi.

"Selain itu, bas menuju ke lapangan terbang dihentikan, tren di kawasan Tokyo banyak yang berhenti dan ada beberapa stesen yang dibatalkan perkhidmatannya," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan panduan bagi penduduk Jepun bersiap sedia sebelum taufan melanda negara itu.

"Antaran langkah yang perlu diambil adalah penduduk diminta mengisi air sehingga penuh botol, makanan diminta untuk disimpan sebanyak kuantiti 10 hari, stor diminta diikat supaya tidak terbuka dan pastikan telefon dan powerbank dicaj penuh.

"Mereka juga perlu mengikat basikal supaya tidak berterbangan serta kenal pasti tempat pemnindahan, selalunya berdekatan dengan sekolah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!